GANDINGAN negara, Pearly Tan (kanan) dan M Thinaah memenangi pingat emas acara beregu wanita, sekali gus menghadiahkan emas ketujuh buat kontinjen negara di Birmingham 2022. FOTO ASWADI ALIAS.
GANDINGAN negara, Pearly Tan (kanan) dan M Thinaah memenangi pingat emas acara beregu wanita, sekali gus menghadiahkan emas ketujuh buat kontinjen negara di Birmingham 2022. FOTO ASWADI ALIAS.
Daripada Amirullah Andi Nur


Birmingham: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mencipta sensasi apabila menghadiahkan pingat emas ketujuh negara dan terakhir pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, sebentar tadi.

Kejayaan itu hadir selepas mereka menewaskan wakil England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8 pada aksi final di National Exhibition Center (NEC).

Kemenangan mereka itu menebus kekecewaan kontinjen negara, apabila perseorangan lelaki, Ng Tze Yong terlepas emas selepas tewas kepada wakil India, Lakshya Sen pada aksi final sebelum itu.

Paling penting, pingat sumbangan Pearly-Thinaah itu berjaya menyamai pencapaian kontinjen negara pada temasya di Gold Coast 2018.

Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 bakal menutup tirainya malam ini selepas berlangsung sejak 28 Julai lalu.

Ketika ditemubual di gelanggang sejurus selepas pertandingan berakhir, Thinaah melahirkan perasaan gembira dengan kejayaan mereka itu.

"Saya amat gembira dengan kejayaan ini," katanya yang menjadi antara sandaran utama kontinjen negara bersama Pearly untuk meraih emas di Birmingham 2022.

Ia adalah emas kedua disumbangkan skuad badminton selepas memenangi acara berpasukan campuran.

Pada aksi separuh akhir semalam mereka menundukkan wakil India, Treesa Jolly-Gaytri Gopichand Pullela, 21-13, 21-16.

Birch-Smith pula sebelum itu menundukkan beregu Australia, Hsuan-Yu Wendy Chen-Gronya Somerville dalam satu lagi separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 9:33 PM