MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh
MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Peranan penting yang dimainkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohammad Norza Zakaria dalam Jawatankuasa Road To Gold (RTG) sejak ia ditubuhkan amat bermakna bagi kontijen Malaysia dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik Paris 2024 terutama dalam sukan badminton.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, pengalaman yang dimiliki Presiden BAM itu amat penting dan disebabkan itu beliau berharap Norza mempertimbangkan semula keputusan bagi melepaskan jawatannya pada hujung bulan ini.

"Sebagai Presiden BAM, beliau (Norza) banyak memberikan input kepada Jawatankuasa RTG yang mana beliau juga adalah pengerusi bersama sebagai presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Sebab itu, melihat kepada keadaan sekarang dengan kita hanya ada beberapa bulan lagi sebelum Olimpik Paris, saya minta Tan Sri Norza pertimbangkan semula keputusan beliau," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Ragbi Sentuh Pink Blitz (PORTO) 2023 di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, hari ini.

Tambah Hannah, beliau tiada niat ingin campur tangan dalam urusan dalaman BAM, tetapi berharap Norza dapat membuat pertimbangan sewajarnya.

"Saya tidak mahu dilihat campur tangan dalam hal ini, saya hanya minta beliau pertimbangkan. Semuanya tertakluk kepada jawatankuasa BAM sendiri untuk membuat keputusan, terpulang kepada mereka," katanya.

Namun begitu, segala persoalan itu akan terjawab selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM yang bakal diadakan esok.

Norza sebelum itu memaklumkan sedia untuk mempertimbangkan semula keputusan yang sudah dibuat sebelum ini sebagai menghormati Hannah selain mengakui mereka membentuk kerjasama yang baik selaku pengerusi bersama Jawatankuasa RTG.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Hannah menerusi hantaran di applikasi X secara terbuka meminta Norza mempertimbangkan semula keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden BAM pada hujung tahun ini.

Jelasnya lagi, Sukan Olimpik Paris 2024 hanya tinggal beberapa bulan lagi dan sukan badminton membentuk blok majoriti atlet dalam program RTG.

Pada Julai lalu, Norza mengumumkan untuk meninggalkan BAM selepas Sukan Olimpik Paris 2024, namun membuat kejutan pada Ogos apabila mengumumkan untuk berundur pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 12:53 PM