THINAAH dan Pearly dapat insentif daripada 100Plus.
THINAAH dan Pearly dapat insentif daripada 100Plus.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M Thinaah menerima perkhabaran gembira menjelang Jelajah Dunia Akhir BWF apabila menerima hadiah wang tunai sebagai insentif kemenangan bernilai RM50,000 dari 100Plus.

Pastinya ia menjadi penyuntik semangat buat Pearly-Thinaah yang menjanjikan aksi terbaik menjelang kejohanan menggabungkan lapan beregu wanita terbaik dunia itu.

Kata Thinaah, dia bersama Pearly masih mahu meraih lebih banyak gelaran dan pemburuan akan diteruskan dengan mereka kini sudah bersedia dari segi fizikal dan mental.

"Insentif ini membuatkan kami lebih bersemangat. Kejayaan di Terbuka Perancis sudah berlalu dan kini episod baru akan bermula dan kami akan terus memburu kejayaan seterusnya," kata Thinaah.

Sementara itu, Pearly berkata segala perancangan sudah dilakukan terutama dalam latihan dan kini hanya menunggu untuk turun beraksi.

Mereka berdua menerima penyerahan replika cek daripada Pengarah Perniagaan F&N Leong Wai Yin, di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini dengan 100Plus menjanjikan lebih banyak insentif jika berjaya memenangi gelaran seterusnya.

Pearly-Thinaah bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan berlepas ke Bangkok, Thailand, Ahad untuk menyertai Kejohanan Jelajah Dunia Akhir yang akan bermula 7 hingga 11 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 9:14 PM