NG Tze Yong ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia, hari ni. FOTO ihsan FB BAM
NG Tze Yong ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia, hari ni. FOTO ihsan FB BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong kini perlu berdepan sebarang kemungkinan selepas namanya dipilih sebagai pengganti kepada pemain profesional negara, Lee Zii Jia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Ini berikutan Zii Jia membuat kejutan untuk menarik diri daripada menyertai temasya bermula 28 Julai hingga 8 Ogos itu.

Penarikan diri Zii Jia itu jelas bakal menjejaskan sasaran pingat kontinjen negara apabila pemain ranking kelima dunia itu dilihat mempunyai peluang terbaik mempertahankan emas diraih Datuk Lee Chong Wei, empat tahun lalu.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, acara perseorangan lelaki kini tidak lagi diletakkan sebagai sasaran untuk pingat emas buat kontinjen negara.

Namun, katanya, ia adalah peluang untuk Tze Yong yang dipilih di saat akhir ketika temasya berbaki 35 hari untuk mempersiapkan diri.

"Bagi Tze Yong dia bukan lagi sebagai sasaran utama untuk pingat emas. Macam manapun dia kita perlu mempersiapkan dia dan Sukan Komanwel ini adalah bonus untuk dia.

"Saya harap dia dapat ambil kesempatan ini untuk mempamerkan permainan bagus dan cipta kejutan untuk negara," katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun, Choon Hann mengakui, Tze Yong pasti akan merasai tekanan kerana ia adalah penampilan pertama juara Terbuka Scotland itu beraksi di pentas Sukan Komanwel.

Terdahulu, kontinjen negara menyasarkan tujuh emas di Birmingham 2022 dengan dua emas disasarkan menerusi acara badminton selain masing-masing satu daripada gimrama, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting.

Terdahulu, Zii jia memutuskan untuk tidak membuat penampilan ke Sukan Komanwel disebabkan jadual padat diharunginya sejak kebelakangan ini, di samping mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, dari 22 hingga 28 Ogos ini.

Juara Kejohanan Badminton Asia 2022 itu turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) termasuk menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria atas sokongan mereka yang mahu melihatnya beraksi di Birmingham sebelum ini.

Walaupun tidak beraksi di Birmingham 2022, Zii Jia tetap memberi jaminan akan memberikan aksi terbaiknya pada dua kejohanan badminton di Malaysia iaitu Terbuka Malaysia dari 28 Jun hingga 3 Julai ini diikuti Masters Malaysia dari 5 hingga 10 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 2:18 PM