MOHAMAD Norza Zakaria. FOTO Bernama
MOHAMAD Norza Zakaria. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad badminton negara kekal dengan sasaran dua pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham biarpun turun tanpa kelibat jaguh perseorangan lelaki Negara, Lee Zii Jia.

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden Persekutuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang yakin barisan pemain lain mampu untuk menggalas tanggungjawab itu seterusnya meneruskan tradisi kejayaan badminton di pentas Komanwel.

Norza yang ditemui selepas Perhimpunan Agung Majlis Olimpik Malaysia ke-41 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini berkata, BAM bagaimanapun akan memperincikan lagi pelan sasaran berkenaan di Sukan Komanwel nanti.

"Ketika ini sudah pasti kita meletakkan sasaran dua emas. Tapi perkara itu akan diperincikan lagi," katanya.

Tanpa kehadiran Zii Jia yang memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai temasya itu menyaksikan tanggungjawab emas akan digalas oleh beregu pertama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Selain itu, dua beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mempunyai peluang menjelmakan emas buat negara.

Untuk rekod tempat yang ditinggalkan oleh Zii Jia itu akan digalas oleh pemain muda negara, Ng Tze Yong yang berada di kedudukan ranking ke-48 dunia.

Saingan di Sukan Komanwel yang akan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos depan menyaksikan badminton menawarkan enam pingat emas termasuk satu dalam acara berpasukan campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 4:34 PM