PEMAIN perseorangan negara, Lee Zee Jia tumpas kepada pemain tuan rumah, Anthony Ginting di suku akhir Masters Indonesia, hari ini. FOTO ihsan BADMINTON PHOTO
PEMAIN perseorangan negara, Lee Zee Jia tumpas kepada pemain tuan rumah, Anthony Ginting di suku akhir Masters Indonesia, hari ini. FOTO ihsan BADMINTON PHOTO
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perjuangan pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia di Masters Indonesia berakhir di suku akhir apabila tunduk kepada wakil tuan rumah, Anthony Ginting, hari ini.

Impian pemain nombor lima dunia itu untuk meraih gelaran ketiga musim ini lebur selepas tewas menerusi pertarungan tiga set 21-18, 16-21, 15-21 dalam aksi selama 69 minit.

Keputusan itu menyaksikan Ginting melebarkan rekod kemenangan ke atas Zii Jia apabila dia kini menang lima daripada enam pertemuan.

Pilihan keempat kejohanan itu akan bertemu sama ada pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen atau pemain Hong Kong, Ng Ka Long bagi merebut tiket ke pentas final, esok.

Zii Jia sebelum ini diletakkan antara pilihan untuk menjuarai kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 itu apabila hadir di Jakarta dengan reputasi tinggi selepas berjaya muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand, bulan lalu.

Namun, pemain itu dilihat seperti mengalami kecederaan kaki kanan yang menjejaskan rentak permainannya terutama pada set penentuan.

Sementara itu, nasib sama turut dialami beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila gagal untuk melangkah ke separuh akhir.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu tewas di tangan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-16, 13-21, 17-21 di aksi suku akhir, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 6:58 PM