KIAN Meng (kanan) meraikan kejayaan memenangi aksi final. FOTO Badminton Photo
KIAN Meng (kanan) meraikan kejayaan memenangi aksi final. FOTO Badminton Photo
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tindakan Tan Kian Meng meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meneruskan gandingan bersama Lai Pei Jing dilihat semakin tepat apabila mereka membuktikan masih lagi mampu membentuk keserasian mantap sehingga berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Korea hari ini.

Februari tahun lalu Pei Jing antara lima pemain senior dalam skuad kebangsaan yang digugurkan BAM namun mereka masih mengekalkan Kian Meng, sebelum pemain kelahiran Pontian, Johor itu membuat keputusan untuk bergerak secara profesional bersama-sama.

Kian Meng-Pei Jing yang juga pilihan kedua kejohanan tidak berdepan masalah untuk menumbangkan wakil tuan rumah, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won 21-15, 21-18 dalam tempoh 49 minit.

Kejayaan di Stadium Tertutup Palma, Suncheon itu membolehkan gandingan nombor 10 dunia itu menamatkan penantian selama lima tahun selepas kali terakhir meraih gelaran Masters Malaysia di Sibu, Sarawak.

Kemenangan ke atas Sung Hyun-Hye Won juga menyaksikan Kian Meng-Pei Jing sudah tiga kali berturut-turut menumpaskan pasangan nombor 17 dunia itu selepas tiga kali mereka bertemu sesama sendiri.

Bagaimanapun, Kian Meng mengakui bahawa aksi berdepan wakil tuan rumah itu bukan mudah walaupun rekod kemenangan memihak kepada mereka dan diletakkan selaku pilihan kedua di kejohanan berkenaan.

"Aksi set pertama tadi kita rasa ada sedikit tegang, namun selepas 11 mata semuanya sudah kembali tenang. Kita juga cuba untuk menukar sedikit perancangan permainan.

"Kita juga ada memperlahankan rentak permainan dan ternyata ia berjalan dengan lancar," kata Kian Meng yang berusia 28 tahun.

Ditanya sama ada dia berasa tertekan sebab perlu berdepan dengan penyokong tuan rumah, Kian Meng mengakui ia bukan satu masalah buat mereka.

"Tidak ada rasa tertekan, sebab kita memang betul-betul fokus dalam perlawanan. Bagi kejohanan besar selepas ini kita akan cuba yang terbaik. Cuba untuk meloloskan diri sekali lagi," kata Kian Meng.

Kian Meng-Pei Jing selepas ini akan beraksi di Masters Korea yang akan bermula Selasa depan dan akan menentang pasangan tuan rumah, Yong Jin-Lee Yu Lim di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 9:49 PM