Pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke suku akhir Masters Indonesia. FOTO Eizari Shamsudin
Pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke suku akhir Masters Indonesia. FOTO Eizari Shamsudin
Saiful Affendy Sapran


BEREGU utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang untuk menebus kehampaan di Masters Malaysia apabila sekali lagi berjaya mara di suku akhir Masters Indonesia.

Pada pusingan kedua hari ini, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan selaku pilihan kelapan, mempamer aksi cemerlang menewaskan gandingan Denmark, Mathias Boe-Mads Conrad Peterson 21-15, 21-13.

Naib juara Seluruh England tahun lalu itu berdepan kekecewaan di Masters Malaysia minggu lalu apabila tewas mudah di tangan beregu utama dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia di suku akhir.

Untuk memenuhi impian mara ke separuh akhir, Aaron-Wooi Yik perlu melepasi halangan satu lagi wakil negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di suku akhir esok.

“Kami agak berpuas hati dengan prestasi permainan pada hari ini. Walaupun peluang nampak lebih cerah untuk mara ke separuh akhir, kami tetap mengambil pendekatan untuk mengharungi setiap peringkat permainan terlebih dulu,” kata Aaron.

Turut mara beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan wakil dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching 21-15, 21-17.

Namun Peng Soon-Liu Ying bakal berdepan tugas sukar di suku akhir apabila bertemu pilihan utama kejohanan, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

Satu lagi pasangan beregu campuran negara, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing turut cemerlang apabila menewaskan wakil Indonesia, Alfian Eko Prasetya-Annisa Saufika 21-13, 21-11.

Kian Meng-Pei Jing akan bertemu wakil Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 11:17 PM