SOON Huat (kiri) dan Shevon di Terbuka Singapura. FOTO AFP
SOON Huat (kiri) dan Shevon di Terbuka Singapura. FOTO AFP
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie diingatkan agar tidak leka dengan kejayaan mereka menjuarai Terbuka Singapura hasil kemenangan menewaskan pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 21-19, 21-18 dalam aksi final, hari ini.

Ketua jurulatih beregu campuran, Pang Cheh Chang berkata, pasangan nombor lapan dunia itu perlu kekal fokus kerana cabaran sebenar buat mereka akan hadir pada saingan Kejohanan Dunia di Nanjing, China bermula 30 Julai hingga 5 Ogos dan Sukan Asia di Jakarta, Indonesia 18 hingga 2 September.

"Saya ingatkan mereka agar tidak terlalu gembira dengan kejayaan ini memandangkan ini hanya Terbuka Singapura. Mereka perlu bekerja keras sebagai persiapan menghadapi Kejohanan DUnia dan Sukan Asia yang pastinya jauh berbeza berbanding kejohanan terbuka.

"Saingan Kejohanan Dunia dan Sukan Asia menyaksikan pemain utama dunia akan beraksi, jadi ia akan menjadi cabaran sebenar dan bakal menguji kemampuan sebenar mereka.

“Jika mereka boleh hasilkan keputusan yang cemerlang dalam dua kejohanan itu, baru kita boleh katakan mereka sudah capai tahap terbaik," kata Cheh Chang ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Cheh Chang percaya gelaran juara di Singapura mampu meningkatkan tahap keyakinan Soon Huat-Shevon menjelang Kejohanan Dunia dan Sukan Asia yang pastinya menjanjikan persaingan yang lebih sengit antara semua pasangan yang beraksi.

"Persiapan mereka bagi menghadapi Terbuka Singapura kali ini lebih rapi. Sebelum ini mereka bergelut apabila tewas di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan Terbuka Indonesia, jadi fokus saya adalah untuk meningkatkan tahap keyakinan mereka dengan bantuan ISN (Institut Sukan Negara)," kata Cheh Chang.

Kejayaan Soon Huat-Shevon menyaksikan mereka menjadi beregu campuran pertama Malaysia bergelar juara Terbuka Singapura sejak kejohanan mula diperkenalkan pada 1987.

Lebih membanggakan, mereka berjaya melakukan apa yang tidak boleh dilakukan senior mereka, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tewas kepada Tontowi-Liliyana dalam aksi final Terbuka Indonesia, dua minggu lalu.

Selaku juara, Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$28,045 (RM114,000) manakala Tontowi-Liliyana AS$13,490 (RM55,00).

Berita berkaitan:

Soon Huat-Shevon benam jagoan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 4:19 PM