SOON Huat (kiri) dan Shevon (dua kiri) meraikan Tahun Baharu Cina di Jakarta. Foto Instagram shevonlai
SOON Huat (kiri) dan Shevon (dua kiri) meraikan Tahun Baharu Cina di Jakarta. Foto Instagram shevonlai
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Dua pemain badminton profesional Shevon Lai dan Goh Soon Huat 'menumpang' menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga dan sahabat jurulatih mereka ketika ini Candra Wijaya.

Dalam satu hantaran di laman Instagram, Shevon memuat naik foto yang mana kedua-duanya kelihatan ceria meraikan sambutan perayaan Tahun Harimau di Jakarta bersama beberapa rakan dan ahli keluarga Candra.

"Beberapa detik kenangan CNY kami di Jakarta! Terima kasih semua kerana menjaga kami berdua dan mengizinkan kami menjadi sebahagian daripada perayaan kali ini," tulis Shevon ringkas dalam perkongsian itu.

Shevon, 28, berasal dari Selangor manakala Soon Huat, 31, berasal dari Melaka.

Terdahulu, kedua-dua pasangan kekasih itu yang beraksi dalam acara beregu campuran sejak enam tahun lalu, turut dilihat menikmati suasana perayaan Tahun Baharu Cina di perantauan dengan bersiar-siar di Hublife Jakarta, satu kompleks beli-belah terkenal di Jakarta Barat.

SHEVON (kiri) bersama Candra dan Soon Huat di Bali hujung tahun lalu. Foto Instagram gohsoonhuat
SHEVON (kiri) bersama Candra dan Soon Huat di Bali hujung tahun lalu. Foto Instagram gohsoonhuat

Soon Huat-Shevon, kini menghuni ranking nombor 13 dunia, berlatih di Pusat Badminton Antarabangsa Candra Wijaya di Tangerang Selatan, Jakarta sejak lebih dua minggu lalu berguru di bawah tunjuk ajar pemenang pingat emas beregu lelaki Sukan Olimpik Sydney 2000.

Mereka kini mempersiapkan diri bagi menghadapi kejohanan Seluruh England di Birmingham dari 16 hingga 20 Mac depan.

Tahun lalu mereka terlepas peluang bertanding pada kejohanan badminton tertua di dunia itu selepas diketepikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) daripada skuad kebangsaan susulan prestasi kurang menentu.

Kedua-duanya kali pertama mendapat tunjuk ajar Candra, 46, yang muncul juara dunia 1997 bersama Sigit Budiarto, pada kejohanan Masters Indonesia di Bali November lalu.

Latihan itu diatur oleh penaja mereka Metamorphosis Medic Sdn Bhd, syarikat berpangkalan di Klang, yang turut membiayai perbelanjaan mereka menyertai kejohanan.

Selepas disingkirkan BAM pada Februari 2021, mereka menghabiskan sepanjang tahun lalu sebagai pemain bebas dan layak ke suku akhir tiga kejohanan - Terbuka Switzerland (Mac), Terbuka Perancis (Oktober) dan Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol (Disember).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 3:54 PM