Pasukan DR KO meraikan kejayaan menewaskan Senheng pada perlawanan akhir BBLPLC dengan kemenangan 11-3 pada perlawanan akhir di Sports Arena Sentosa hari ini. FOTO Ihsan Purple League
Pasukan DR KO meraikan kejayaan menewaskan Senheng pada perlawanan akhir BBLPLC dengan kemenangan 11-3 pada perlawanan akhir di Sports Arena Sentosa hari ini. FOTO Ihsan Purple League
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Peneraju klinik pakar kulit Malaysia, DR KO membuktikan mereka bukan saja hebat di dalam bidang kesihatan tetapi juga di gelanggang sukan apabila muncul juara edisi kedua Biz Link Properties Purple League 2021/2022 (BLPLC) dengan menundukkan Senheng 11-3 pada perlawanan akhir di Sports Arena Sentosa hari ini.

DR KO bermula garang di final apabila gandingan Dhami Tula Ram-Lim Loong Meng tidak menghadapi masalah mengenepikan cabaran Pong Chit Pei-Yong Chee Seng, 3-0 (11-10, 11-0, 11-9) dalam aksi membabitkan beregu lelaki.

Dalam aksi kedua membabitkan beregu campuran pula, Senheng berjaya mengejar menerusi Junior Oh-Yap Yee yang menewaskan Sim Juei Kee dan pemain profesional negara Woon Khe Wei 3-2 (11-6,10-11,11-8,10-11,11-9) dalam pertarungan 51 minit untuk menjadikan kedudukan 5-3.

Datuk Lim Choon Seng dan Lim Choon Keong menjarakkan kedudukan kepada 8-3 hasil kemenangan selesa 3-0 (11-3,11-5, 11-4) ke atas gandingan Senheng, Chow Kock Fei-Wong Thian Lai di dalam kategori beregu lelaki.

Kemenangan DR KO akhirnya disempurnakan oleh gandingan beregu wanita mereka apabila Stephanie Fenellang-Tan Chew Ping meletakkan pertembungan ini di luar jangkauan Senheng menerusi kemenangan 3-0 (11-7, 11-4, 11-7) ke atas Karena Wong-Yap Rui Chen sekali gus mengesahkan kejuaraan dengan keputusan 11-3.

"Kami teruja kerana berjaya memenangi BLPLC buat kali pertama. Pada awalnya, kami tidak menyangka bahawa kami mampu mengejutkan barisan yang menampilkan pemain kebangsaan.

"Kami tidak boleh terlalu dibuai-buai dengan kejayaan ini dan perlu meningkatkan usaha kami bagi mengekalkan kejuaraan kami untuk edisi akan datang," kata pengurus pasukan, Soo Teck Zhi.

Dalam penentuan tempat ketiga, Oriental Real Estate terlalu sukar untuk ditandingi oleh Top Glove, apabila meraih kemenangan meyakinkan 9-3 untuk masing-masing membawa pulang wang tunai RM12,500.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Purple League (MPL), Ho Khek Mong berkata, penganjuran BLPLC ini adalah sebagai platform bagi pemain badminton meneruskan kelangsungan kerjaya selepas persaraan mereka.

"Liga korporat ini adalah platform terbaik bagi kelangsungan seseorang atlit selepas tamatnya kerjaya mereka.

"Syarikat korporat boleh mengambil mereka sebagai jurulatih atau menyerap mereka sebagai warga kerja. Mereka juga tidak terikat sebagai atlit dan boleh mencuba kerjaya lain menerusi pelbagai bidang yang ditawarkan," kata Khek Mong.

Sepuluh badan korporat tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian dalam edisi kedua kejohanan ini iaitu AEON Credit Services, Genting Malaysia, Oriental Real Estate, redONE (redPHOENIX), Perbadanan Putrajaya, Top Glove, Senheng, Kelab Sukan China Press, DR KO dan AIG

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 8:40 PM