LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kembali mendapat rentak apabila melakar kemenangan perlawanan pertama peringkat kumpulan dalam aksi Jelajah Dunia Akhir BWF di Indonesia, hari ini.

Selepas terkeluar seawal pusingan pertama iaitu Terbuka Indonesia dan menarik diri ketika Masters Indonesia, Zii Jia yang menghuni ranking kelapan dunia itu berjaya menundukkan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand 21-15, 21-16 pada perlawanan pertama Kumpulan B.

Pastinya ia memberi perkhabaran gembira buat kem badminton negara yang menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan pinggang yang dialaminya ketika final Terbuka Hyli di Jerman awal bulan lalu.

"Saya gembira dapat meraih kemenangan pertama di Bali selepas tiga minggu. Saya dapat berehat secukupnya dan kini berada dalam keadaan baik.

"Masih ada lagi dua perlawanan peringkat kumpulan dan saya harap dapat meneruskan aksi konsisten dan meraih keputusan positif di kejohanan ini," katanya.

Juara Seluruh England itu seterusnya akan berdepan lawan dari Perancis, Toma Junior Popov untuk aksi kedua kumpulan, esok sebelum mengakhiri saingan bertemu K Srikanth dari India.

Sementara itu turut melakar kemenangan pada aksi pertama peringkat Kumpulan A adalah beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menang ke atas rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-14, 21-13.

Mereka akan turun berdepan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje untuk aksi kedua peringkat kumpulan manakala Kian Meng-Pei Jing pula akan bertemu pasangan nombor empat dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, esok.

Bagaimanapun nasib berbeza dialami beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah apabila tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Soyeong-Kong Heeyong 14-21, 14-21 dalam aksi pertama Kumpulan A.

Peluang masih terbuka buat Pearly-Thinaah namun mereka perlu menang ke atas pilihan pertama dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai, esok bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke separuh akhir kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah wang tunai AS$1.5 juta (RM6.36 juta) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 6:41 PM