Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann mengakui ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki pemain utama sebelum mengharungi kejohanan Piala Thomas dan Uber bermula Sabtu ini.

Choong Han berkata, sebahagian besar pemain yang beraksi di kejohanan Piala Sudirman akan mewakili negara ke pertandingan Piala Thomas dan Uber sekali gus perlu penambahbaikan jika mahu mencipta keputusan positif.

Mengakui persembahan pemain muda di kejohanan Piala Sudirman cukup menakjubkan, Choong Hann tidak mahu pemain cepat berpuas hati dengan pencapaian berkenaan kerana masih banyak lagi cabaran dan rintangan perlu dilalui untuk bergelar pemain terbaik dunia.

Katanya, ketika ini masih lagi terdapat jurang antara pemain terbaik dan kelompok 20 namun barisan kejurulatihan mempunyai ramuan untuk menyelesaikan isu terbabit.

"Kita cukup berpuas hati dengan barisan pemain muda apabila menunjukkan semangat juang tinggi sekali gus membuktikan kejayaan asas daripada latihan diterapkan kepada mereka.

"Jika dilihat barisan pemain di Piala Sudirman, kebanyakan mereka akan bertanding di Piala Thomas. Oleh itu, masih terdapat kekurangan di kalangan pemain yang perlu diperbaiki segera.

"Struktur asas pemain sudah ada cuma sekarang ini perlu perbaiki lagi untuk rapatkan jurang antara pemain terbaik dan di ranking 20 ke atas," katanya.

Mengikut rekod, skuad badminton negara diundi dalam Kumpulan D bersama naib juara 2018, Jepun pada saingan Piala Thomas yang dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober ini.

Selain Jepun yang pernah menjuarai piala berprestij itu pada 2014 dengan menewaskan Malaysia di pentas final, Kanada dan England turut diundi dalam Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 5:50 PM