CHOONG Hann berkata semua pemain berada pada tahap yang memuaskan dan sudah pasti bersedia untuk memberi tentangan. FOTO OWEE AH CHUN
CHOONG Hann berkata semua pemain berada pada tahap yang memuaskan dan sudah pasti bersedia untuk memberi tentangan. FOTO OWEE AH CHUN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Berhadapan dengan jadual yang padat dan latihan yang ketat bukan masalah kepada barisan pemain badminton Olimpik Tokyo untuk memberikan komitmen tinggi dalam menghadapi kejohanan Piala Sudirman 2021 bermula 26 September hingga 3 Oktober ini di Vantaa, Finland.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berkata, ketika ini tahap kesediaan semua pemain berada 90 peratus dan dijangka mampu memberi tentangan sengit terutama apabila berhadapan Jepun dan England kelak.

Beliau berkata, walaupun beberapa pemain Olimpik Tokyo dilihat agak keletihan namun mereka menunjukkan komitmen tinggi setiap kali turun pada sesi latihan baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan prestasi terkini semua pemain termasuk 'ubi muda' Choong Hann yakin skuad badminton negara mampu mencatatkan keputusan positif.

"Berdasarkan pada perlawanan simulasi dalaman yang dilakukan baru-baru ini, semua pemain berada pada tahap yang memuaskan dan sudah pasti bersedia untuk memberi tentangan kepada lawan masing-masing.

"Saya memahami ada antara pemain terutama yang baru pulang dari Olimpik Tokyo terpaksa berhadapan dengan latihan ketat dengan waktu rehat agak terhad namun mereka tetap bersemangat untuk menyertai kejohanan itu.

"Oleh itu, kita akan fokus kepada matlamat iaitu melangkah ke pusingan seterusnya dan mencipta keputusan positif pada kejohanan Piala Sudirman," katanya.

Mengikut rekod, Malaysia, yang juga pilihan kelapan, berdepan saingan hebat apabila diundi dalam Kumpulan D bersama naib juara 2019 Jepun selain England dan Mesir, dalam undian yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kejohanan Piala Sudirman juga boleh dikatakan antara medium terbaik untuk memilih senarai akhir pemain untuk dibawa menghadapi Piala Thomas dan Uber di Aarhus, Denmark yang akan berlangsung dari 9 hingga 17 Oktober.

Skuad badminton negara ke Piala Sudirman akan berlepas ke Finland pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 7:22 PM