Wooi Yik bersama pingat dimenangi. FOTO Instagram sohwooiyik
Wooi Yik bersama pingat dimenangi. FOTO Instagram sohwooiyik
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Tahun 2021 mungkin sukar untuk dilupakan oleh pemain beregu lelaki negara Soh Wooi Yik.

Apa tidaknya, selepas merangkul pingat gangsa bersama gandingannya Aaron Chia pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai lalu, pemain berasal dari Kuala Lumpur itu turut membawa pulang pingat gangsa daripada Piala Sudirman yang berakhir di Vantaa, Finland semalam.

Tidak salah juga jika pemain beregu yang kini menghuni ranking kelapan dunia itu berasakan semuanya bagaikan satu mimpi yang menjadi kenyataan.

"Adakah ini satu mimpi? Ya, ia satu impian yang menjadi nyata," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram dengan menyelitkan gambar dia tidur sambil tersenyum dengan pingat gangsa terkalung megah di dadanya.

"Saat ini dan tahun ini adalah masa yang saya tidak akan lupakan dalam karier badminton saya. Daripada pingat gangsa pada Sukan Olimpik kepada pingat gangsa Piala Sudirman, saya mempunyai pengalaman paling bermakna sepanjang hidup dan tidak berputus asa bahawa impian saya akan menjadi kenyataan.

"Saya menonton idola saya beraksi di kaca televisyen ketika saya kecil. Bermain bola keranjang satu bentuk keseronokan, tapi saya tidak menjangkakan untuk berdiri di pentas kejayaan hari ini," katanya yang turut meminati sukan bola keranjang.

"Sudah tentu, terima kasih kepada pasukan dan penyokong Malaysia kerana sokongan tidak berbelah bagi kepada kami. Sorakan anda juga menjadi motivasi kami.

Selepas Piala Sudirman, kami pastinya berani dan lebih berani sekali gus berusaha keras untuk membanggakan negara," tulisnya.

Beraksi empat perlawanan pada Piala Sudirman, Aaron-Wooi Yik menang tiga daripadanya dan paling cemerlang apabila mengulangi kejayaan di Olimpik Tokyo dengan menewaskan beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dalam dua set pada suku akhir.

Kemenangan itu membantu Malaysia menyingkirkan musuh tradisi Indonesia 3-2 namun Aaron-Wooi Yik gagal bermula baik apabila kalah kepada beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada separuh akhir yang menyaksikan kekalahan skuad negara 1-3.

Selain dua pingat gangsa itu, Aaron-Wooi Yik turut muncul naib juara Terbuka Thailand, Januari lalu apabila mereka tunduk kepada beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin pada aksi final.

Wooi Yik mampu untuk bergembira lagi selepas ini apabila beraksi pada Piala Thomas di Aarhus, Denmark bermula Sabtu ini diikuti beberapa kejohanan lain termasuk Terbuka Denmark di Odense (19-24 Oktober), Terbuka Indonesia di Bali (23-28 November) dan Pusingan Akhir Jelajah Dunia BWF (1-5 Disember) juga di Bali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 6:43 PM