KIEN Keat-Boon Heong pernah bergelar pemain nombor satu dunia. FOTO NSTP
KIEN Keat-Boon Heong pernah bergelar pemain nombor satu dunia. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Demi lebih berdaya saing dan digeruni pihak lawan, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik disarankan agar mencipta senjata tersendiri untuk digunakan dalam kejohanan yang disertai.

Menurut bekas pemain beregu lelaki negara, Koo Kien Keat kelebihan itu mampu menjadi jawapan buat pasangan nombor lapan dunia itu dalam usaha mereka meraih gelaran sulung di pentas antarabangsa sejak digandingkan pada 2017.

"Sehingga kini saya tidak nampak keistimewaan dimiliki Aaron-Wooi Yik yang mampu membawa mereka melangkah lebih lebih jauh di peringkat tertinggi. Seperti saya dengan Tan Boon Heong dulu, saya bermain di depan dan Boon Heong di belakang, itu senjata kami. Memang orang takut kalau kami bermain dengan corak permainan begitu," kata Kien Keat.

Ujarnya, Aaron-Wooi Yik perlu mencari senjata mereka untuk menunjukkan perbezaan dan mencontohi pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang jelas mempunyai kelebihan mereka tersendiri sebagai gandingan.

"Tidak kisah Aaron melakukan dengan 'smash' kuat, apa pun mereka perlu ada kelebihan tersendiri untuk menjadi juara. Apabila Kevin di depan dan Gideon di belakang, memang akan mendatangkan bahaya kepada lawan mereka. Ini adalah senjata mereka.

"Kalau Gideon 'smash' bagus dan Kevin berada di depan, memang sukar untuk lepas," katanya yang juga bekas beregu nombor satu dunia bersama Boon Heong.

Kien Keat-Boon Heong muncul antara pasangan yang digeruni ketika era mereka sebagai pemain dan berjaya merangkul pelbagai gelaran di pentas antarabangsa termasuk menjuarai Seluruh England 2007 dan memenangi pingat emas Sukan Asia 2006.

Aaron-Wooi Yik sekali lagi terlepas peluang bagi bergelar juara selepas terkandas di separuh akhir Terbuka Perancis, minggu lalu.

Mereka terpaksa akur apabila tewas di tangan pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baekcheol 21-14, 10-21, 22-24.

Sejak digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik masih gagal merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa dengan pencapaian terbaik adalah enam kali mara ke final termasuk ketika muncul naib juara Seluruh England 2019 dan Terbuka Thailand 2020.

Bagaimanapun, pasangan itu berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina dan meraih gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mereka akan beraksi dalam saingan Masters Indonesia bermula 16 hingga 21 November dan Terbuka Indonesia 23 hingga 28 November di Bali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 1:33 PM