Bintang Jepun, Kento Momota menjadi pemain pilihan untuk memenangi pingat emas badminton perseorangan Olimpik. FOTO Ihsan BWF
Bintang Jepun, Kento Momota menjadi pemain pilihan untuk memenangi pingat emas badminton perseorangan Olimpik. FOTO Ihsan BWF
AFP

Tokyo: Digantung di Rio kerana berjudi dan hampir bersara selepas kemalangan kereta tahun lalu - bintang badminton Jepun, Kento Momota sebaliknya sudah bersedia untuk kemunculan pertama di Olimpik.

Pemain nombor satu dunia itu adalah antara atlet tuan rumah berpotensi memenangi pingat di Tokyo.

Dia pastinya bersyukur apabila pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahagian mata selepas terbabit kemalangan pada Januari 2020.

Momota berkata dia "patah semangat" ketika dalam proses pemulihan selepas kemalangan - insiden yang berlaku beberapa jam selepas menjuarai Masters Malaysia - yang turut menyebabkan pemandu kenderaan membawanya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, terbunuh.

Dia mengalami masalah penglihatan dan memerlukan pembedahan berhampiran bahagian mata yang menangguhkan kemunculannya kembali ke gelanggang sehingga menimbulkan kebimbangan kariernya bakal berakhir.

"Saya memikirkan mengenai perkara itu. Berapa lama ia akan ambil masa untuk pulih?" katanya pada Mac tahun lalu, apabila ditanya sama ada dia bimbang jika tidak dapat beraksi semula.

"Terdapat juga masa apabila semangat saya luntur."

Tapi pemain berusia 26 tahun itu dilaporkan berjaya pulih sepenuhnya, dan dia bakal membuat penampilan pertama di Olimpik sebagai pemain pilihan untuk memenangi pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 11:29 AM