KWANG-hee tewaskan Momota sekali lagi di Piala Thomas. FOTO BWF
KWANG-hee tewaskan Momota sekali lagi di Piala Thomas. FOTO BWF
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Piala Thomas mungkin menjadi milik Indonesia namun bagi pemain perseorangan Korea Selatan, Heo Kwang-hee ia tetap bermakna selepas dia berjaya membuktikan sesuatu pada kejohanan seminggu di Aarhus, Denmark.

Pemain berusia 26 tahun itu membuktikan kemenangannya ke atas pemain nombor satu dunia Kento Momota dari Jepun pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 bukan hanya sekadar nasib apabila dia berjaya mengulanginya pada suku akhir kejohanan berpasukan itu.

"Sekalipun saya mengalahkannya pada Olimpik, saya tidak mara lebih jauh, jadi secara peribadi saya tidak berpuas hati.

"Saya tidak sabar untuk berdepannya sekali lagi jadi saya boleh buktikan sesuatu. Saya puas hati kini kerana saya boleh tunjukkan kepada setiap orang bahawa saya boleh berada di tahap sama dengannya," kata Kwang-hee yang tewas mengejut di tangan pemain Guatemala, Kevin Cordon pada suku akhir di Tokyo 2020.

"Saya berlatih dengan gigih pada Olimpik dan tidak kira apa yang orang kata, saya tetap memenangi perlawanan dengannya. Saya fikir ia satu detik permulaan untuk percaya terhadap diri sendiri, betapa saya merentas perjalanan yang betul."

Ia perlawanan yang lebih sengit berbanding di Tokyo namun Momota mungkin tertanya-tanya dengan kekalahan kedua berturut-turut dalam dua set di tangan pemain Korea itu. Sebelumnya Momota menewaskan pemain utama Malaysia, Lee Zii Jia kali kedua dalam tiga perlawanan.

"Ia kelihatannya seperti saya tidak mampu mempamerkan permainan yang saya mahukan. Saya cuba yang terbaik tapi ia tidak berjaya. Saya hanya tidak mampu mengejarnya. Pada ketika saya perlu menukar sesuatu kerana lawan saya asyik menyerang, saya cuba menukar rentak tapi semuanya tidak menjadi," kata Momota.

Bagi Kwang-hee, kemenangan itu mengesahkan kemampuannya. Dia mungkin agak lewat berada di tahap kemuncak dan lebih dikenali kerana kejutan ke atas Momota, sekalipun dia meraih kemenangan mengagumkan ke atas Chou Tien Chen (Taiwan) dan Kunlavut Vitidsardn (Thailand) pada Piala Sudirman di Finland.

"Terlalu bermakna untuk mengalahkan Momota sekali lagi kerana ramai menyatakan saya bernasib baik ketika menang kali pertama, tapi saya buktikan kini mampu berada di tahap tertinggi, jadi ia amat bermakna buat saya.

"Saya puas hati sekarang. Saya mengalahkan beberapa pemain ternama pada Piala Sudirman dan kejohanan ini juga lebih tinggi tahapnya jadi persembahan ini lebih bermakna," kata Kwang-hee yang menghuni ranking ke-33 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 7:20 PM