Jaguh perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia ketika beraksi di Seluruh England. FOTO AFP
Jaguh perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia ketika beraksi di Seluruh England. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang di temasya Olimpik Tokyo bulan ini.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam kenyataannya memaklumkan juara Seluruh England 2021 itu dipilih berikutan pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad menarik diri atas sebab tertentu.

"Berikutan permintaan Khairul Anuar untuk menarik diri sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia di Olimpik Tokyo, Ahli Lembaga Eksekutif MOM bersetuju memilih Zii Jia untuk menggantikannya.

"Zii Jia yang juga antara atlet berpotensi memenangi pingat di Olimpik Tokyo akan mewakili atlet lelaki untuk membawa Jalur Gemilang," katanya.

Terdahulu, Khairul Anuar menolak pelawaan menjadi pembawa Jalur Gemilang di Tokyo berikutan jadual terlalu padat selain perlu memberi tumpuan kepada acara yang disertainya.

Sebelum ini, MOM memilih dua atlet, Goh Liu Ying dan Khairul Anuar sebagai pembawa Jalur Gemilang berdasarkan prestasi semasa dan kejayaan mereka sebelum ini di temasya Olimpik terdahulu.

Pemilihan Liu Ying berdasarkan pencapaiannya meraih perak ketika Olimpik Rio 2016 dan Tokyo adalah penampilan kedua atlet badminton berkenaan manakala Khairul pemenang pingat perak di Kejohanan Memanah Dunia dan antara atlet yang terawal menempah tiket ke Olimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 5:03 PM