Tee Kai Wun (kanan) bersama gandingan beregu campuran negara Teoh Mei Xing muncul juara di Terbuka Sepanyol. FOTO BAM
Tee Kai Wun (kanan) bersama gandingan beregu campuran negara Teoh Mei Xing muncul juara di Terbuka Sepanyol. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Raih kejayaan pada dua acara berbeza bukan mudah buat pemain badminton negara Tee Kai Wun terutama terpaksa memerah kudrat bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan Malaysia.

Kai Wun-Teoh Mei Xing mengungguli saingan final acara beregu campuran Kejohanan Badminton Antarabangsa Sepanyol 2021 di La Nucia, semalam, selepas menewaskan pilihan ketiga, Callum Hemming-Jessica Pugh dari England.

Pasangan negara terpaksa bermandi peluh dalam tempoh 50 minit pertarungan, sebelum berjaya meraih gelaran antarabangsa sulung mereka dengan kemenangan 21-15, 13-21, 21-19.

Kejayaan berganda buat Kai Wun apabila turut meraih gelaran juara acara beregu lelaki bersama gandingannya, Man Wei Chong.

Bagaimanapun, gandingan negara itu terpaksa mengharungi pertarungan sengit sebelum berjaya mengalahkan pasangan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-15-21-18.

Mengulas lanjut mengenai dua pertembungan itu, Kai Wun berkata, dia menganggap perlawanan beregu campuran antara paling sukar pernah diharunginya terutama diheret beraksi hingga ke set penentuan.

Katanya, pada perlawanan berkenaan dia bersama Mei Xing terpaksa mengubah strategi pada set penentuan selepas melihat lawannya mengubah taktikal.

"Saya melihat beregu campuran paling sukar namun pada pertemuan itu saya fikir hanya mahu lakukan terbaik saja.

"Kami berkomunikasi dengan jurulatih dan mengubah strategi bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

"Pada ketika itu, saya boleh mengekalkan tahap permainan kerana tidak fikir pasal letih cuma mahu tunjukkan apa yang sudah belajar selama ini," katanya.

Mengikut rekod, Wei Chong - Kai Wun sebelum ini berjaya mengungguli acara beregu di Terbuka Poland selepas menewaskan rakan sepasukan Chang Yee Jun-Chia Weijie.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 7:42 PM