WEI Chong-Kai Wun benam beregu Taiwan. FOTO BAM
WEI Chong-Kai Wun benam beregu Taiwan. FOTO BAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Beregu muda lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun hanya tinggal satu saja lagi halangan untuk meraih gelaran kedua pada musim ini apabila menempah tiket final Terbuka Taiwan selepas menundukkan pasangan tuan rumah, hari ini.

Pertarungan berlangsung 36 minit itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun tidak menghadapi masalah merekodkan kemenangan mengatasi Su Ching Heng-Ye Hong Wei straight set 21-13, 22-20.

Walaupun beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah, pasangan muda negara itu tidak mudah goyah untuk mengekalkan momentum permainan sebelum mengesahkan tiket ke akhir.

Mengikut rekod, pada awal tahun ini, Wei Chong-Kai Wun mencipta kejutan apabila muncul juara di Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, menewaskan pasangan tuan rumah Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-18-21-15.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi dua lagi wakil negara apabila kecundang di tangan lawan masing-masing pada pertarungan berlangsung sebentar tadi.

Pemain perseorangan negara Soong Joo Ven tidak bernasib baik kali ini apabila kecundang di tangan wakil tuan rumah yang juga pilihan pertama perlawanan Chou Tien Chen 12-21,12-21.

Joo Ven sebelum ini melakar kejutan terbesar menumpaskan pilihan ketiga dari India, Kashyap Parupalli 21-12, 12-21, 21-17 pada pertarungan suku akhir semalam namun terpaksa akur kepada kehebatan wakil tuan rumah itu yang dilihat lebih mendominasi perlawanan.

Turut terkandas di peringkat separuh akhir adalah beregu campuran, Toh Ee Wei-Hoo Pang Ron apabila tewas kepada pasangan Hong Kong Lee Chun Hei Reginald- Ng Tsz Yau menerusi tiga set 17-21, 21-17, 12-21.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2022 @ 4:10 PM