REAKSI Lampard (dua kanan) ketika pasukannya bertemu Southampton. FOTO AFP
REAKSI Lampard (dua kanan) ketika pasukannya bertemu Southampton. FOTO AFP
AFP

London: Frank Lampard meminta Chelsea mengurangkan kesilapan selepas Jannik Vestergaard menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan untuk Southampton ketika kedua-dua pasukan seri 3-3.

Penyerang Jerman, Timo Werner menjaringkan gol pertamanya di Liga Perdana Inggeris ketika meledak dua gol pada separuh masa pertama di Stamford Bridge.

Danny Ings kemudian merapatkan jurang untuk Southampton minit ke-43 sebelum kesilapan dilakukan Kurt Zouma dan Kepa Arrizabalaga menyaksikan Che Adams mengikat kedudukan minit ke-57.

Kai Havertz kembali meletakkan Chelsea di depan dua minit kemudian namun skuad bimbingan Lampard dinafikan kemenangan mereka selepas Vestergaard menanduk masuk bola di hujung perlawanan berpunca daripada kelemahan benteng Chelsea.

Chelsea hanya melakar dua kemenangan daripada lima perlawanan liga dan sudah dibolosi sembilan kali.

"Kami perlu mempamer aksi lebih mantap. Melakukan kesilapan individu membuka peluang lawan menjaringkan gol.

"Kita dapat saksikan banyak gol dijaringkan di saingan liga namun tiada pengurus yang mudah berpuas hati. Kami harus menjadi lebih baik," kata Lampard.

Lampard bagaimanapun gembira melihat Werner menjaringkan gol buat kali pertama di saingan liga pada penampilan kelimanya sejak berhijrah dari Leipzig.

"Dia menjaringkan gol yang menarik tapi banyak lagi yang perlu dilakukan oleh Timo," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 9:18 AM