SUKAN renang tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB.
SUKAN renang tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Semua program latihan berpusat di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri-Negeri dibenarkan untuk diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula esok hingga 27 Oktober.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia perlu menggunakan pendekatan kuarantin (quarantine based approach).

"Ia seperti dilaksanakan di Kompleks Majlis Sukan Negara Bukit Jalil dan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan," katanya ketika sidang media harian hari ini.

Bagaimanapun katanya, aktiviti kolam renang, bersentuhan fizikal, sukan bertempur, penganjuran sukan/kejohanan serta pertandingan sukan dengan kehadiran penonton dan acara/pertandingan sukan yang melibatkan peserta dari luar negeri tidak dibenarkan. Tambahnya, hanya aktiviti sukan secara individu, e-sports, sukan tidak bersentuhan dan sukan 'outdoor' yang tidak melebihi 10 orang dibenarkan.

Ismail Sabri berkata perkara berkenaan dibincangkan jawatankuasa teknikal bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) "Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membincangkan prosedur operasi standard (SOP) yang terperinci dan membentangkan kepada sidang MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan dikeluarkan mengingatkan semua penggiat sukan dan rekreasi termasuk pemilik dan operator fasiliti di dalam negeri dan kawasan PKPB untuk mematuhi arahan yang ditetapkan MKN. "Penggiat sukan dan rekreasi termasuk pemilik dan operator fasiliti seperti padang bola sepak, kompleks sukan, dewan badminton, gimnasium, kolam renang, pusat rekreasi dan sebagainya dalam negeri dan kawasan PKPB perlu mematuhi arahan ditetapkan MKN untuk menangguh dan menjadualkan semula semua aktiviti sukan dan rekreasi masing-masing.

"Operasi fasiliti sukan dan rekreasi juga hendaklah ditutup secara sementara sepanjang tempoh PKPB ini. Manakala di daerah atau negeri lain, program serta acara sukan dan rekreasi boleh diteruskan dengan mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa. Ini adalah untuk kita sama-sama membantu memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 10:13 PM