Aksi bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dalam perlawanan Liga Perdana. FOTO EPA
Aksi bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dalam perlawanan Liga Perdana. FOTO EPA
Agensi

London: Cristiano Ronaldo menyeru pemain Manchester United untuk terus memberi sokongan kepada Ole Gunnar Solskjaer.

Pengendali Red Devils berdepan tekanan susulan kekalahan 5-0 kepada Liverpool sekali gus menyaksikan mereka meneruskan saingan empat perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa melakar kemenangan.

Masa depan Solskjaer di Old Trafford menjadi tanda tanya dengan laporan mendakwa dia hanya mempunyai tiga lagi perlawanan untuk menyelamatkan jawatannya itu.

Menurut Manchester Evening News, Ronaldo pemain yang ditandatangani pada musim panas ketika berada di bilik persalinan selepas menjalani latihan menyeru rakan sepasukan menyokong penuh di belakang pengendali dari Norway itu.

Laporan turut menyatakan beberapa pemain kelab itu sudah hilang kepercayaan kepada Solskjaer berikutan beberapa keputusannya, seperti meletakkan Jesse Lingard dan Donny van de Beek di bangku simpanan apabila mereka menunjukkan peningkatan ketika latihan.

Bagaimanapun, Ronaldo menasihatkan rakan sepasukannya supaya tidak mengeruhkan keadaan sebaliknya berusaha untuk bangkit dalam saingan berikutnya.

United yang kini berada di tangga ketujuh memungut 14 mata dan ketinggalan lapan mata dengan pendahulu liga, Chelsea. Anak buah Solskjaer akan berkunjung ke Stadium Tottenham, tengah malam Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 2:12 PM