PEMAIN Bayern meraikan gol dijaringkan Coman. FOTO Reuters
PEMAIN Bayern meraikan gol dijaringkan Coman. FOTO Reuters
Reuters

Paris: Kingsley Coman kembali menghantui Paris St Germain (PSG) sekali lagi apabila jaringannya memastikan Bayern Munich menang 1-0 di Parc des Princes pada perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.

Dilahirkan di Paris dan dibesarkan di PSG, Coman menjaringkan gol tunggal ketika Bayern menewaskan PSG di final UCL 2020 dan dia sekali lagi menjaringkan gol untuk meletakkan juara Jerman itu sebelah kaki ke suku akhir.

PSG yang kini tewas lima perlawanan dalam semua kejohanan pada 2023, cemerlang pada babak pertama, tetapi gagal bangkit walaupun menamatkan perlawanan dengan tiga bintang iaitu Kylian Mbappe, Neymar dan Lionel Messi di atas padang.

Anak buah Christophe Galtier kini berdepan penyingkiran kali kedua berturut-turut di peringkat 16 terakhir menjelang perlawanan kedua di Munich pada 8 Mac, walaupun aksi cemerlang Mbappe selepas dimasukkan pada babak kedua memberikan sedikit harapan.

"Kami bermain dengan baik pada 25 minit pertama dan pasukan lebih baik malam ini muncul pemenang. Ia kemenangan penting, tetapi ada lagi perlawanan kedua selepas ini," kata jurulatih Bayern, Julian Nagelsmann.

"Kami dominan dan agresif sejak awal. Kemudian mereka mula mengancam apabila Mbappe dimasukkan."

Sementara itu, Galtier berkata: "Kami berdepan sejam yang sukar berdepan pasukan yang menikmati penguasaan bola dan memberikan tekanan tinggi.

"Dibolosi lawan sebelum Kylian masuk memang menyedihkan, tetapi mereka berhak menjaringkan gol."

Stadium itu gamat apabila Mbappe masuk menggantikan Carlos Soler dengan harapan penyerang Perancis itu mampu membantu PSG selepas tersisih selama dua minggu akibat kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 8:18 AM