Pemain Jepun, Kento Momota mara ke separuh akhir Masters Indonesia. FOTO AFP
Pemain Jepun, Kento Momota mara ke separuh akhir Masters Indonesia. FOTO AFP
AFP

Bali, Indonesia: Pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota mudah mengesahkan tiket ke separuh akhir Masters Indonesia selepas melakar kemenangan ke atas Rasmus Gemke hari ini.

Sensasi Jepun itu menewaskan pemain Denmark berkenaan 21-15, 21-5 dalam masa 43 minit.

Momota menjadi pemain pilihan untuk menjuarai perseorangan lelaki selepas pemenang emas Olimpik, Viktor Axelsen tersingkir di pusingan ke 16 semalam kepada pemain India, HS Prannoy.

"Perlawanan pada hari ini tidak begitu memenatkan saya kerana saya mengetahui kekuatan permainan lawan," kata Momota yang akan berdepan Chou Tien-chen pada aksi separuh akhir esok.

Pemain Taiwan itu menewaskan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka-long.

"Saya sedar Chou bermain agresif. Bagaimanapun, saya tidak akan memberi tekanan dari mula pertarungan," tambah Momota.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 9:19 PM