REAKSI Lampard (kanan) pada perlawanan bertemu Bayern. FOTO AFP
REAKSI Lampard (kanan) pada perlawanan bertemu Bayern. FOTO AFP
AFP

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard mengakui skuad bimbingannya akan mengambil pengajaran daripada kekalahan 1-4 kepada Bayern Munich pada aksi timbal balik pusingan kedua sekali gus tersingkir di saingan Liga Juara-Juara menerusi agregat 1-7.

Selepas tewas 0-3 kepada Bayern di Stamford Bridge pada aksi pertama Februari lalu, faktor kecederaan pemain mengganggu rentak Chelsea dengan Robert Lewandowski meledak dua gol untuk membantu Bayern melakar kemenangan.

"Ia pengalaman yang bagus untuk kami bertemu Bayern dan mempelajari pengalaman mereka di Liga Juara-Juara dengan banyak pemain kami baru melakukan penampilan pertama," kata Lampard.

Chelsea tidak dapat menggunakan khidmat Christian Pulisic, Cesar Azpilicueta, Pedro dan Willian yang mengalami kecederaan manakala Jorginho dan Marcos Alonso memenuhi hukuman penggantungan perlawanan.

"Saya dapat melihat di mana kedudukan mereka dan saya pasti kami akan kembali ke tahap terbaik semula," kata Lampard.

"Apabila anda membandingkan penampilan kami di Liga Juara-Juara berbanding Bayern, saya dapat melihat banyak perkara baik di dalam pasukan dan juga yang buruk disaksikan musim ini.

"Ia adalah permulaan yang sukar untuk kami apabila ketinggalan dua gol. Apapun tahniah kepada Bayern dan mereka berhak untuk menang," katanya.

Lampard yang mengetuai Chelsea ketika memenangi Liga Juara-Juara 2012 dengan menewaskan Bayern di Munich berkata, gergasi Jerman itu adalah antara pasukan pilihan untuk memenangi edisi kali ini.

"Mereka mempunyai pengalaman luas dan tahu bagaimana untuk memenangi saingan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 8:59 AM