KHALID menandatangani baju peminatnya ketika Sesi Bertemu Peminat.
KHALID menandatangani baju peminatnya ketika Sesi Bertemu Peminat.
Oleh Firdaus Hashim

BEKAS penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus mendedahkan dia kini berbelah bagi sama ada untuk menerima tawaran sebagai jurulatih di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang atau mencari pasukan di Lembah Klang.

Jelas Khalid, hasil pertemuan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal tempoh hari, dia terus dihubungi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Dalam perbincangan itu, bekas pemenang Kasut Emas Liga Malaysia musim 2002 itu ditawarkan jawatan membimbing skuad elit AMD yang juga kilang melahirkan pemain muda berbakat negara.

Bagaimanapun, Khalid mengakui berada dalam dilema kerana jika menerima tawaran berkenaan, dia terpaksa berjauhan dengan keluarganya yang menetap di Lembah Klang.

"Saya diberi tawaran oleh Shapawi untuk ke Pahang (AMD). Tetapi saya masih fikirkan kerana dulu (ketika bergelar pemain profesional) saya kerap tinggalkan anak dan isteri selama dua ke tiga tahun untuk bermain bola.

"Bila dah usia begini, saya perlu fikirkan secara mendalam kerana saya tak mahu lagi berjauhan dengan mereka. Mungkin pilihan yang lebih baik, saya harap ada pasukan di Lembah Klang supaya dekat dengan keluarga," katanya ketika ditemui pada Sesi Bertemu Peminat di sini, kelmarin.

Jelas Khalid, perancangan terdekat yang sedang diusahakannya adalah mengambil kursus kejurulatihan lesen A.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 6:01 AM