Khalid (kiri) pernah menerima anugerah Kasut Emas. FOTO FB Khalid Jamlus
Khalid (kiri) pernah menerima anugerah Kasut Emas. FOTO FB Khalid Jamlus
Syazwan Msar


JANGAN sampai masalah sama berulang lagi apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melakukan kajian seterusnya menangani atau membaiki kelemahan hingga menyebabkan bekas bintang bola sepak di negara ini berada dalam situasi sukar.

Timbalan Menterinya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, situasi yang melanda bekas penyerang Harimau Malaya, Khalid Jamlus cukup menyedihkan sehingga terpaksa menjual segala koleksi peribadi yang boleh dikatakan antara barangan yang paling disayangi akibat kesempitan hidup.

Beliau berkata, menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) terdapat beberapa bantuan khusus diberikan kepada atlet dan bekas pemain bola sepak namun mengakui mungkin ada kelompongan atau kelemahan yang perlu diperbaiki supaya mereka tidak lagi perlu melalui situasi yang memeritkan.

"Kita bukan hanya tengok situasi yang melanda Khalid saja namun secara keseluruhan dengan menambah baik atau perbaiki kelemahan terbabit.

"Mungkin jika kita lihat dahulu gaji pemain bola sepak tidaklah setinggi sekarang ini menyebabkan mereka perlu bekerja keras meneruskan kehidupan.

"Walau apa pun, saya akan berjumpa dengan pemain terbabit Rabu ini untuk mengetahui situasi sebenar sebelum membantunya," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, tindakan Khalid menjual jersi dan medal kemenangan, termasuk trofi kasut emas yang dimenanginya pada 2002 cukup mengejutkan ramai pihak sekali gus membongkar kehidupan sukar pemain berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak tiga tahun lalu.

Menerusi bidaan secara langsung di Facebook, menyaksikan kasut emas berkenaan dijual pada harga RM10,500.

Mengikut rekod, kali terakhir beliau memimpin pasukan dalam saingan Liga Malaysia adalah sebagai penolong jurulatih PDRM FA tiga tahun lalu dengan memiliki lesen kelas B.

Tindakan terbabit mendapat perhatian Wan Ahmad Fayhsal apabila menjemput pemain itu ke pejabat untuk mengetahui masalah yang sedang dihadapi oleh bekas pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 8:21 PM