Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kiri) bertemu Muhamad Khalid Jamlus di Menara Kementerian Belia dan Sukan hari ini. FOTO BERNAMA
Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal (kiri) bertemu Muhamad Khalid Jamlus di Menara Kementerian Belia dan Sukan hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Syazwan Msar


BEKAS pemain kebangsaan, Khalid Jamlus mendedahkan beliau hampir kehilangan segalanya apabila harta termasuk kereta dan rumah akan dilelong berikutan tiada sumber pendapatan tetap sejak tiga tahun lalu.

Kesengsaraan yang dihadapi beliau menyebabkan terpaksa melakukan perkara di luar dugaan dengan menjual semua barang berharga termasuk pingat dan trofi kasut emas itu bagi meneruskan kehidupan.

Walaupun tindakan terbabit mendapat reaksi positif namun tidak kurang juga yang menghentamnya dengan pelbagai tohmahan walaupun hakikatnya tidak mengetahui situasi sebenar yang melanda beliau ketika ini.

Katanya, beliau ada meminta bantuan daripada pihak tertentu termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pasukan tertentu bagi diberikan peluang atau tempat berdasarkan pengalaman serta ilmu yang ada sepanjang 18 tahun bergelar pemain profesional.

"Saya tidak malu melakukan perkara itu (melelong barang berharga) kerana tindakan terbabit demi meneruskan kelangsungan hidup apabila tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

"Jika keadaan ini berterusan, saya sudah berputus asa dan mungkin tidak akan terbabit dalam sukan bola sepak lagi walaupun kerugian apabila tidak boleh mencurah ilmu kepada pemain belia sekarang ini," katanya, ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, semalam.

Pada pertemuan terbabit ada sinar buat Khalid apabila kemungkinan akan kembali ke arena bola sepak negara menerusi bantuan yang ditawarkan nanti.

Sebelum itu, tindakan Khalid menjual jersi dan medal kemenangan, termasuk trofi kasut emas yang dimenanginya pada 2002 cukup mengejutkan ramai pihak sekali gus membongkar kehidupan sukar pemain berkenaan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak tiga tahun lalu.

Menerusi bidaan secara langsung di Facebook, menyaksikan kasut emas berkenaan dijual pada harga RM10,500.

Mengikut rekod, kali terakhir beliau memimpin pasukan dalam saingan Liga Malaysia adalah sebagai penolong jurulatih PDRM FA tiga tahun lalu dengan memiliki lesen kelas B.

Tindakan terbabit mendapat perhatian, Wan Ahmad Fayhsal apabila menjemput pemain itu ke pejabat untuk mengetahui masalah yang sedang dihadapi oleh bekas pemain itu.

Sementara itu, Wan Fasyhal berkata, kementerian akan membantu meringankan beban bekas pemain terbabit untuk jangka masa panjang.

"Pada masa ini kita tak boleh maklumkan apa apa, tapi kita akan ikhtiar apa yang kita mampu untuk pastikan ada sinar untuk beliau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 7:01 AM