PEMAIN Man United memanaskan badan di Carrington. FOTO Agensi
PEMAIN Man United memanaskan badan di Carrington. FOTO Agensi
Agensi

MANCHESTER United berdepan detik mencemaskan selepas pengendali Stoke, Michael O'Neill disahkan positif Covid-19 hanya beberapa minit sebelum aksi persahabatan kedua-dua pasukan pagi semalam.

Skuad bintang Ole Gunnar Solskjaer dijadualkan berdepan kelab Championship itu dalam aksi tertutup di kompleks latihan Carrington tetapi dibatalkan selepas keputusan ujian koronavirus Stoke yang dijalankan pada Isnin dikeluarkan sebelum perlawanan bermula.

Bagaimanapun, lewat malam tadi United mengesahkan tiada pemain mereka terdedah dengan jangkitan itu.

Stoke mengesahkan O'Neill, 50, dijangkiti virus dalam kenyataan awal pagi tadi. Bekas ketua pasukan Ireland Utara itu kini menjalani proses kuarantin selama tujuh hari.

Kenyataan dari kelab Championship itu menyebut: "Stoke City mengesahkan pengurus, Michael O'Neill dikesan positif Covid-19 susulan ujian kesihatan terakhir pada Isnin lalu.

"O'Neill pada mulanya negatif pada lima ujian awal. Dia kini perlu mamatuhi garis panduan kesihatan dan menjalani proses kuarantin selain berhubungan dengan staf dan pemain menerusi panggilan video.

"Penolong pengurus, Billy McKinlay akan mengambil alih tugas untuk bersiap sedia berdepan Reading pada 20 Jun."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 10:38 AM