Penyerang Liverpool, Divock Origi. FOTO liverpoolfc.com
Penyerang Liverpool, Divock Origi. FOTO liverpoolfc.com
Agensi

DIVOCK Origi yakin permainannya bertambah baik walaupun berdepan peluang terhad di Liverpool dan mahu terus bekerjasama dengan Jurgen Klopp.

Origi memahat namanya sebagai wira Anfield musim lalu menerusi jaringan penting termasuk gol kemenangan perlawanan akhir Liga Juara-Juara ke atas Tottenham.

Pemain antarabangsa Belgium itu meledak lima gol lagi dalam semua kejohanan musim ini, namun dia sering dibayangi tiga bintang utama jentera serangan Reds iaitu Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane.

Origi menandatangani kontrak jangka panjang di Merseyside Julai 2019, dan dia tidak mempunyai sebab untuk berpindah.

"Saya menjadi pemain yang lebih baik berbanding tahun lalu," kata penyerang berusia 25 tahun itu kepada Het Laatste Nieuws.

"Klopp memberi saya ruang untuk mengembangkan diri.

"Saya sering ikut kata hati dan terus berusaha. Kami telah berbincang dengan Liverpool dan kami menuju kejayaan yang terbentang di hadapan kami. Saya hanya mahu meningkat prestasi di sini.

"Ini adalah satu projek untuk saya dan saya ingin mengikutinya. Saya tidak tahu berapa lama lagi saya akan melakukannya.

"Saya rasakan semakin menunjukkan kemajuan, jadi sayang jika musim ini terhenti kerana wabak Covid-19."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 10:06 AM