ROONEY percaya Kane akan memecahkan rekod miliknya selaku penjaring terbanyak England. FOTO AFP
ROONEY percaya Kane akan memecahkan rekod miliknya selaku penjaring terbanyak England. FOTO AFP
Agensi

WAYNE Rooney percaya Harry Kane akan memecahkan rekod penjaring terbanyak England miliknya.

Bekas penyerang Manchester United itu ketika ini memegang rekod penjaring terbanyak England dengan 53 gol sepanjang 120 penampilan.

Kane yang beraksi bersama Tottenham pula sudah menjaringkan 32 gol sepanjang 45 penampilan bersama England dan Rooney menegaskan ia tidak akan mengambil masa yang lama sebelum rekod miliknya dipecahkan oleh Kane.

“Saya harus bercakap jujur dan ia mungkin akan mengejutkan anda. Tapi saya bukanlah peledak gol semula jadi,” tulis Rooney di kolum Sunday Times.

“Saya memegang rekod untuk Manchester United serta England dan saya berasa amat bangga. Tapi ada lagi pemain nombor sembilan yang lebih baik berbanding saya.

“Bagaimana saya boleh memegang rekod penjaring terbanyak walaupun saya bukanlah penyerang semula jadi? Masa. Saya beraksi dengan United selama 13 tahun dan England 15 tahun.

“Saya mempunyai masa untuk melakar rekod itu dan melihat kepada pencapaian lalu, saya seharusnya mampu meledak lebih banyak gol.

“Saya rasa ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk Harry Kane mengatasi rekod penjaring terbanyak England dan ia akan menjadi detik membanggakan untuk saya.

“Saya tidak pernah bersikap meninggi diri dan ia pasti amat membanggakan untuk England dan Kane jika dapat mengatasi rekod saya.

“Bobby Charlton perlu menunggu sehingga 50 tahun sebelum saya memecahkan rekod penjaring terbanyak England. Saya harap rekod saya tidak begitu lama untuk diatasi.

Rooney yang kini beraksi bersama Derby County, memegang rekod penjaring terbanyak United dengan 183 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 10:01 AM