Azizul bersama isteri dan anaknya. FOTO Instagram azizulhasniawang
Azizul bersama isteri dan anaknya. FOTO Instagram azizulhasniawang
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan, namun bagi pelumba berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang terpaksa berkorban meninggalkan keluarga demi menunaikan tanggungjawab untuk mengharumkan nama negara tercinta.

Hampir empat bulan, satu jangkamasa paling lama buatnya meninggalkan isteri Datin Athiah Ilyana Abd Samat dan dua anak perempuannya Amna Maryam dan Amna Khadeeja di Melbourne, Australia dalam usaha memburu pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.

Namun kepulangannya pasti disambut dengan penuh kesyukuran walaupun dia hanya membawa pulang pingat perak daripada temasya itu, satu peningkatan daripada pingat gangsa yang dimenanginya di Rio de Janeiro lima tahun lalu.

"Tak sabarnya nak terbang pulang ke Melbourne. Dah hampir tiga bulan lebih berjauhan dengan ahli keluarga dan jika saya pulang nanti ditambah pula dengan kuarantin, saya rasa ia akan jadi lebih kurang empat bulan lebih macam tu.

"Ini paling lama dan rekod dalam perjalanan karier saya setakat ini. Biasanya tinggalkan anak-anak dan isteri dalam sebulan atau sebulan lebih macam tu je," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

Azizulhasni memenangi pingat perak dalam acara keirin lelaki akhir di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO Bernama
Azizulhasni memenangi pingat perak dalam acara keirin lelaki akhir di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO Bernama

Azizul, 33, dan rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta ketua jurulatih berbasikal negara John Beasley pulang ke ibu negara dari Melbourne pada 5 Jun lalu untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo.

Mereka berlepas ke ibu negara Jepun itu pada 25 Julai dan pulang membawa pingat perak pada 9 Ogos lalu.

Sekembalinya dari Tokyo, pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu menjalani kuarantin wajib dua minggu di ibu negara sebelum pulang ke kampung halamannya menjenguk ibu bapa dan keluarganya di Dungun, Terengganu.

"Tapi kali ini tak mudah, ditambah pula dengan isteri saya yang mengalami alahan teruk untuk kandungan ketiga ini.

"Terima kasih isteri @tyailyana dan anak-anak @amnamaryam @amnakhadeeja_ yang faham tugasan serta kerja Abi yang perlu berkorban untuk negara dan semoga Allah membalas syurga buat kita semua insya-Allah."Doakan Abi boleh balik cepat ye. Family is always number 1," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:20 PM