MUHAMAD Aznil raih gangsa dalam acara angkat berat kategori 61kg di Sukan SEA Filipina 2019.
MUHAMAD Aznil raih gangsa dalam acara angkat berat kategori 61kg di Sukan SEA Filipina 2019.
Syazwan Msar


HANYA kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga.

Komitmen dan semangat juang yang dipamerkan jaguh angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin untuk menempah slot ke Olimpik Tokyo boleh dikatakan sia-sia selepas badan induk antarabangsa sukan berkenaan menghalang wakil Malaysia menyertai temasya itu.

Atlet kelahiran Kedah dikatakan menjadi satu-satunya atlet angkat berat negara berpeluang cerah beraksi di Olimpik Tokyo berdasarkan prestasi dan kedudukan terkininya.

Aznil yang pernah memenangi pingat emas bagi kategori 62 kilogram di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia berkata, kesilapan yang dilakukan individu lain yang tetap berdegil menggunakan bahan terlarang menyebabkan atlet ‘bersih’ terkena tempias hingga merencatkan pembangunan dan matlamat mereka.

Menurutnya, perkhabaran terbabit turut ‘merentap’ semangat dan kegigihan untuk terus mengutip mata bagi melayakkan diri ke Olimpik.

“Sememangnya sedih selepas mendengar berita terbabit kerana meletakkan harapan tinggi untuk layak bertanding di temasya empat tahun sekali itu.

“Saya bertungkus lumus melakukan persiapan termasuk berusaha mengutip mata bagi memperbaiki kedudukan terkini dalam kategori 61 kilogram dan optimis mampu layak ke Olimpik.

“Sekarang ini, harapan hanya bersandarkan kepada rayuan yang bakal dikemukakan oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) dan berharap segalanya dipermudahkan,” kata Aznil yang pernah meraih satu perak dan dua gangsa dalam Kejohanan Solidariti Antarabangsa di Uzbekistan, awal tahun lalu.

Terdahulu, IWF dalam satu kenyataan berkata, atlet daripada Malaysia dan Thailand tidak akan mengambil bahagian di Olimpik Tokyo tanpa mengira sebarang perubahan tarikh.

Keputusan itu berikutan kedua-dua negara terbabit mencatatkan jumlah kes doping paling tinggi hingga mendorong badan induk antarabangsa sukan itu mengambil tindakan tegas.

Temasya sukan terbesar itu ditangguhkan selama setahun berikutan pandemik Covid-19 dan tarikh baru adalah pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 6:00 AM