Ayub Rahmat
Ayub Rahmat
Syazwan Msar

CUCI sampai bersih. Itu tindakan utama yang akan ditekankan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dalam mengenalpasti pembekal bahan terlarang dan mencari individu bertanggungjawab mengedarnya kepada atlet.

Malah, PABM turut akan mengambil inisiatif mengetatkan lagi pemilihan jurulatih atlet supaya mereka memiliki sijil praktik kejurulatihan yang dikeluarkan badan induk angkat berat negara itu.

Perkara terbabit disahkan Presiden PABM Datuk Ayub Rahmat apabila ‘maruah’ sukan terbabit sudah tercalar seterusnya perlu melakukan ‘pembersihan’ bagi memastikan atlet bebas daripada isu doping.

Bagai melepaskan batuk ditangga apabila setiap nasihat dan peringatan diberikan jelas tidak mahu didengari seterusnya memberi kesan kepada sukan terbabit apabila digantung setahun
daripada beraksi atau mengelola sebarang kejohanan.

“Hanya kerana kesilapan beberapa individu, semuanya menerima kesan termasuk persatuan apabila kita didenda dan juga digantung
seterusnya memberi kesan kepada atlet lain. “Tindakan yang dikenakan Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) itu sudah dijangka kerana kita merekodkan tiga atlet terpalit isu
doping dalam tempoh setahun.

“Jadi, sekarang ini kita melihat jurulatih mainkan peranan penting kerana mereka rapat dengan atlet seterusnya mampu mengawal pengambilan bahan terlarang,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Terdahulu PABM digantung daripada menyertai sebarang aktiviti IWF selama setahun bermula 1 April 2020 hingga 1 April 2021, selain semua atlet angkat berat Malaysia tidak
dibenarkan untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Keputusan itu juga turut tidak membenarkan atlet Malaysia menyertai sebarang kejohanan dan program anjuran IWF, selama lima bulan sehingga 1 Sept 2020.

Penggantungan selama lima bulan itu disebabkan sebelum ini, PABM menggantung atlet Malaysia daripada
menyertai sebarang kejohanan IWF selama setahun, bermula 31 Mei 2018 hingga 1 Mei 2019.

Sementara itu, Ayub berkata, setiap denda dikenakan badan induk angkat berat dunia itu sudah dibayar PABM termasuk yang dikenakan terhadap atlet merangkumi jumlah mencecah ratusan ribu ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 6:05 AM