Muhamad Aznil Bidin. FOTO File NSTP
Muhamad Aznil Bidin. FOTO File NSTP
Syazwan Msar


KETIKA harapan jaguh angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin untuk menempah slot ke Olimpik 2020 di Tokyo boleh dikatakan musnah gara-gara isu doping namun atlet berkenaan tetap optimis mendapat 'talian hayat' terakhir menerusi surat rayuan yang dihantar kepada Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF).

Aznil berkata, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sudah menghantar surat rayuan terbabit beberapa minggu lalu dan kini hanya menunggu jawapan daripada badan induk angkat berat antarabangsa.

Menurutnya, dia optimis untuk menempah slot ke Olimpik 2020 di Tokyo selepas mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan sebelum ini.

"Saya yakin dapat beraksi di Tokyo dan ketika ini tetap komited menjalani latihan bersendirian di rumah.

"Jika diikutkan mungkin dapat mengetahui keputusan awal Julai nanti apabila semua atlet angkat berat dipanggil menjalani latihan pusat," katanya.

Sebelum ini, IWF dalam satu kenyataan berkata, atlet daripada Malaysia dan Thailand tidak akan mengambil bahagian di Olimpik Tokyo tanpa mengira sebarang perubahan tarikh.

Keputusan itu berikutan kedua-dua negara terbabit mencatatkan jumlah kes doping paling tinggi hingga mendorong badan induk antarabangsa sukan itu mengambil tindakan tegas.

Badang negara yang berasal dari Kedah itu sebelum ini mengejutkan ramai pihak selepas berjaya memenangi pingat emas bagi kategori 62 kilogram di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Selain itu, Aznil juga berjaya meraih pingat satu perak dan dua gangsa dalam Kejohanan Solidariti Antarabangsa di Uzbekistan pada awal tahun lalu.

Ketika ini, dia juga satu-satunya atlet angkat berat negara yang berpeluang cerah beraksi di Olimpik 2020 berdasarkan prestasi dan kedudukan terkininya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 7:25 PM