LIRIDON miliki pengalaman luas dalam arena bola sepak negara.
LIRIDON miliki pengalaman luas dalam arena bola sepak negara.
Oleh Firdaus Hashim


SAYAP Harimau Malaya, Safawi Rasid teruja dengan kehadiran pemain kelahiran Kosovo, Liridon Krasniqi yang bakal menambah sengat pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa selepas ini.

Liridon, 28, pada Isnin lalu memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui proses naturalisasi selepas menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.

Ia membolehkan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu hanya selangkah untuk menyarung jersi negara dan mengikut jejak seorang lagi tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

“Penyertaaan Liridon memberi impak besar terhadap prestasi negara, tambahan pula dia pemain berpengalaman, dah beraksi di beberapa kelab luar dan dalam Malaysia.

“Saya yakin Liridon mampu bertindak cemerlang dengan menyumbang sesuatu buat pasukan negara,” kata Safawi ketika dihubungi Arena Metro.

Menurut Safawi, setiap pemain memiliki kelebihan, sudah pasti Liridon menambah pilihan lebih luas buat ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk merangka strategi permainan.

“Terpulang kepada jurulatih untuk menilai aksi masing-masing. Kalau ada pemain yang boleh menolong pasukan kebangsaan dan berpengalaman, itu beri kelebihan untuk kita cuba layak ke Piala Asia 2023,” katanya yang juga rakan sepasukan Liridon di JDT.

Ditanya sikap Liridon ketika latihan bersama skuad Harimau Selatan, Safawi akui bekas pemain Kedah dan Melaka United itu banyak memberi tunjuk ajar di atas padang.

“Dia OK...banyak tolong satu sama lain. Dia juga suka berkongsi pengalaman, kalau ada yang perlu dibaiki dan begitu juga apabila ada pemain lain yang kongsi pengalaman dengannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 6:10 AM