ALVARO Morata. FOTO AFP
ALVARO Morata. FOTO AFP
Reuters

MASALAH membelenggu Atletico Madrid semakin parah apabila terikat tanpa jaringan dengan Villareal dalam saingan La Liga awal pagi tadi, melebarkan rekod tanpa kemenangan kepada empat perlawanan semua kejohanan, sekali gus menyukarkan mereka untuk kembali merebut kejuaraan.

Atletico yang gagal menang di Villareal sejak April 2015, kini di tangga keenam liga dengan 26 mata daripada 16 perlawanan, lima mata di belakang pendahulu Liga Barcelona yang mempunyai kelebihan dua perlawanan.

Pemain Atletico bernilai 126 juta euro (RM579.3 juta) Joao Felix gagal menyempurnakan keenam-enam peluangnya, termasuk kesilapannya pada separuh masa pertama di mana dia tidak diawasi di kawasan penalti tetapi rembatan jarak dekatnya melepasi palang.

Atletico tewas 0-1 kepada Barcelona dalam La Liga dan tewas dengan jaringan sama kepada Juventus dalam Liga Juara-Juara pada dua perlawanan sebelumnya dan jurulatih Diego Simeone berkata keputusan itu memberi kesan terhadap pemainnya.

“Adalah sesuatu yang normal apabila anda tidak mendapat keputusan dikehendaki dan mencipta banyak peluang tetapi gagal menyempurnakannya, anda mula berasa bimbang,” kata beliau.

“Satu cara untuk menenangkan diri adalah menerusi kerja keras, pada ketika ini kami berasa cemas dan kurang mantap. Sebaik kami mendapat ketenangan, kami akan kembali menemui sentuhan.”

Perlawanan itu dijadualkan sebagai perlawanan La Liga pertama di Amerika Syarikat tetapi sebaliknya berlangsung di laman Villareal selepas badan induk liga itu tewas kepada persekutuan bola sepak Sepanyol di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 9:58 AM