SHERMAN (dua dari kanan) dan Tchetche (depan tiga dari kiri)  bergambar bersama  Mukhriz dan pengurusan KFA selepas penyempurnaan majlis sesi menandatangani kontrak  di Wisma Darul Aman. - FOTO Izzali Ismail
SHERMAN (dua dari kanan) dan Tchetche (depan tiga dari kiri) bergambar bersama Mukhriz dan pengurusan KFA selepas penyempurnaan majlis sesi menandatangani kontrak di Wisma Darul Aman. - FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


DUA penyerang sensasi baharu Kedah, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche masing-masing memasang impian mahu membuktikan ketajaman mereka untuk menghadapi saingan Liga Malaysia dan juga Asia pada musim 2020.

Hadir pada majlis sesi menandatangani kontrak pemain di Wisma Darul Aman petang tadi, Sherman meluahkan rasa gembira dapat bersama Kedah yang dianggap pasukan hebat dan memiliki penyokong terbaik dalam Liga Malaysia.

"Saya sangat berharap dapat mengulangi prestasi ketika bersama PKNS FC kerana impian saya menghadiahkan beberapa piala bersama Kedah dan itulah azam saya musim depan."

"Saya sangat gembira dapat bersama Kedah kerana saya tahu ini pasukan hebat. Walaupun masih baru di Kedah saya selesa dan sudah berasakan seperti di tempat sendiri."

Bagi Tchetche pula, dia bangga dapat bersama Lang Merah musim depan.

"Pastinya saya dan juga semua pemain teruja menghadapi cabaran baharu musim depan dan kami bakal beraksi di peringkat tertinggi iaitu saingan ke peringkat Liga Juara-Juara Asia (ACL).”

Majlis sesi menandatangani kontrak skuad Kedah di Wisma Darul Aman turut dihadiri Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan turut mengumumkan enam pemain tempatan baharu di samping dua pemain dari skuad Piala Presiden Kedah.

Pemain tempatan berkenaan ialah penjaga gol Shahril Sa'ari, pertahanan Irfan Zakaria, pemain sayap Hadin Azman, pertahanan Zulkhairi Zulkifli dan pemain tengah kerakyatan Malaysia, Tam Sheang Tsung yang pernah mewakili kelab Jepun Sagan Tosu FC manakala dua pemain baharu dari Piala Presiden Kedah pula ialah Aiman Afif dan Luqman Hakim Marzuki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 6:43 PM