TAM kerap memanaskan bangku simpanan pada musim lalu. FOTO FC KDA FC
TAM kerap memanaskan bangku simpanan pada musim lalu. FOTO FC KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain tengah Kedah, Tam Sheang Tsung memasang impian mahu tampil dengan usaha lebih mantap bersama skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Walaupun kelibatnya dalam aksi Liga-M pada musim lalu agak tenggelam kerana sering memanaskan bangku simpanan, namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat juangnya untuk terus membuktikan kemampuannya untuk Kedah yang mengidamkan kejuaraan bagi musim 2021.

Bekas pemain kelab Sagan Tosu FC kelahiran Tokyo Jepun itu berkata, dia mahu bekerja dengan lebih keras bagi membuktikan kemampuan sebenarnya kepada semua pihak termasuk penyokong.

"Saya sayangkan pasukan Kedah dan kini saya sedang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan agar keputusan yang terbaik dapat dihasilkan bersama Kedah yang mahu memburu kejayaan pada musim ini.

"Saya sentiasa melakukan pelbagai latihan secara individu seperti yang digariskan oleh jurulatih dan ini juga amat membantu bagi mendapatkan sasaran yang dimahukan," katanya.

Tam menganggap Kedah memiliki keupayaan untuk memberi saingan terbaik dalam semua kejohanan yang akan dilalui termasuk Piala AFC pada musim ini.

Selain memiliki reputasi berharga dipentas Asia, Tam adalah antara pemain bahagian tengah skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang memiliki tahap kecergasan terbaik sejak menyertai Kedah pada musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 6:36 PM