Mohd Nidzam Jamil.
Mohd Nidzam Jamil.
Asrol Awang


KUANTAN: Biarpun baharu 10 hari bersama FELDA United FC, empat pemain import kelab itu nekad mempamerkan prestasi terbaik membantu mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Mereka adalah pemain Jepun, Kei Ikeda, Jocinei Schad dari Brazil dan Jaycee Okwunwanne (Bahrain) serta dibantu pertahanan kental musim lalu, Thiago Aquino.

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, setakat ini komitmen dipersembahkan pemain import bersama rakan sepasukan lain menunjukkan perkembangan positif.

"Tempoh 10 hari masih tidak mencukupi untuk menilai prestasi tetapi saya lihat mereka begitu komited dan mahu membantu kelab ini mencapai keputusan terbaik dalam setiap perlawanan.

"Mereka juga sedar kelab ini sebahagian besarnya dibarisi pemain muda dan FELDA United pula kembali beraksi di Liga Super musim ini.

"Dengan komitmen semua termasuk pengurusan dan barisan kejurulatihan, saya percaya The Fighters mampu memberikan cabaran dan merekodkan keputusan positif," katanya.

Mengulas keputusan seri 0-0 dengan Terengganu FC II (TFC II) kelmarin, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan dipamerkan skuad bimbingannya itu.

"Perlawanan ini diyakini membantu membentuk persefahaman kerana FELDA United akan memulakan perlawanan pertama bertemu Selangor pada 3 Februari ini.

"Sudah pasti kami perlu memperkasakan pasukan kerana bakal berdepan Selangor yang dilihat antara pasukan diberi tumpuan musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 6:08 PM