SYED Saddiq menerima jersi Cerezo Osaka di Putrajaya.
SYED Saddiq menerima jersi Cerezo Osaka di Putrajaya.
Firdaus Hashim


KELAB Liga Satu Jepun (J1), Cerezo Osaka mengesahkan hasrat untuk menyertai Kejohanan SuperMokh 2019 yang berlangsung di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang pada 13-23 Disember ini.

Perkara itu dimaklumkan sendiri presiden kelab, Hiroaki Morishima ketika ditemui dalam satu pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Kementerian Belia & Sukan, Putrajaya.

Turut hadir dalam perjumpaan berkenaan adalah Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhn, Hiroshi Hamada.

“Pihak Cerezo Osaka berbesar hati menerima pelawaan yang dinyatakan YB Menteri Belia & Sukan Malaysia sewaktu berlangsungnya program Asean Dream Project 2019. Kami akan menghantar pasukan bawah 14 tahun kami bagi menyertai kejohanan berkenaan," katanya.

Sebagai rekod, Cerezo Osaka dengan kerjasama Yakult Malaysia menganjurkan ADP 2019 memilih lima pemain muda berbakat Malaysia dan diberi peluang berlatih dan menimba ilmu bersama pasukan Negara Matahari Terbit itu.

Selain itu, Cerezo Osaka turut menjadi destinasi empat pemain skuad Bawah 18 tahun negara (B-18) menjalani latihan dan percubaan pada September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 5:57 PM