SYED Saddiq (kiri) bersama Hamada (kanan) dan pemain kebangsaan yang kini beraksi untuk Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak.
SYED Saddiq (kiri) bersama Hamada (kanan) dan pemain kebangsaan yang kini beraksi untuk Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Daripada Firdaus Hashim di Okayama dan Jepun


BIASISWA berjumlah RM100,000 akan disediakan buat pemain muda berbakat negara menyambung persekolahan dan berlatih bersama kelab divisyen 2 Liga Jepun (J2), Fagiano Okayama sekali gus mengembangkan bakat di negara Matahari Terbit itu tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan biasiswa itu akan menampung tiga pemain dari usia 13-17 tahun seperti yang dimaklumkan oleh Yakult Malaysia.

Jelasnya, biasiswa itu hasil perbincangan Fagiano bersama Sekolah Tinggi Gakugeikan yang turut kerja sama dengan kelab berpangkalan di Okayama itu.

“Selepas berbincang dengan pihak pengurusan sekolah swasta yang berkolaborasi dengan Fagiono Okayama, mereka bersetuju untuk memberikan biasiswa istimewa kepada pemain Malaysia yang berbakat bawah 17 tahun untuk ditempatkan serta bersekolah di Jepun.

“Mereka akan menampung supaya dapat belajar dan bermain di Jepun dan ia untuk merapatkan lagi hubungan JFA (Persatuan Bolasepak Jepun) dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia),” katanya ketika ditemui pada Program Impian ASEAN (ADP) 2019 di sini, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkata, usaha itu juga untuk meningkatkan jumlah pemain beraksi di Jepun selepas Hadi Fayyadh Abdul Razak berjaya melakar reputasi cemerlang di J2.

“Kami di Yakult akan membantu pemain yang layak dengan memberikan mereka biasiswa Yakult bagi menampung kos pembelajaran.

“Pihak sekolah pula bersetuju untuk memberikan yuran pembelajaran secara percuma, cuma perlu membayar wang yuran penginapan dan makan sebanyak RM2,000 sebulan. Kos ini akan kami tanggung,” kata Hamada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:30 AM