LUQMAN disambar Cerezo Osaka.
LUQMAN disambar Cerezo Osaka.
Firdaus Hashim di Osaka dan Jepun


PENYERANG skuad bawah 19 (B-19) negara, Luqman Hakim Shamsudin sah akan menjalani sesi percubaan bersama kelab divisyen 1 Liga Jepun (J1), Cerezo Osaka bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, hasil perbincangan lanjut yang diadakan bersama wakil Cerezo dan Yakult Malaysia di sini kelmarin, pemain berasal dari Kelantan itu yang dilahirkan menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) akan diuji terlebih dahulu.

Cerezo yang pernah menjuarai Piala Liga Jepun dan Piala Maharaja pada 2017 serta menamatkan saingan J1 di tangga ketiga pada musim sama difahamkan terpikat dengan kemampuan Luqman ketika beraksi dalam kesebelasan utama terbaik Piala Sanix 2019, Mac lalu.

“Insya-Allah, akan ditempatkan (Luqman beraksi di Cerezo) dan kalau lihat prestasinya seperti Hadi Fayyadh juga dulu.

“Memang Jepun pun dah nampak dari awal prestasinya yang sangat baik dan boleh menjalani latihan serta menjadi penyumbang terbesar kepada negara tercinta pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada Program Impian ASEAN (ADP) 2019, kelmarin.

Reputasi penyerang muda negara berusia 17 tahun itu sebenarnya bermula ketika dia membantu skuad B-13 NFDP melakar sejarah muncul juara Piala Iber Costa del Sol di Sepanyol pada 2015 dengan dia antara penjaring terbanyak kejohanan.

Kelibatnya semakin mendapat perhatian kelab luar terutamanya di Asia selepas meraih anugerah penjaring terbanyak Kejuaraan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tahun lalu.

Menerusi perkembangan positif itu, sekurang-kurangnya sembilan pemain muda negara termasuk tujuh pemain AMD akan menggegar bumi negara Matahari Terbit itu selepas kejayaan Hadi beraksi bersama kelab J2, Fagiano Okayama dan terbaru Luqman.

Dalam perkembangan sama, Saddiq menafikan Luqman sedang diintai oleh kelab gergasi Itali, Juventus.

“Tak ada kedengaran mengenai hal itu. Mungkin ia hanya dari ejen saja namun tiada sebarang perbincangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:30 AM