WALKER menyelamatkan percubaan Atalanta selepas bertindak sebagai penjaga gol pada 10 minit terakhir. — FOTO EPA
WALKER menyelamatkan percubaan Atalanta selepas bertindak sebagai penjaga gol pada 10 minit terakhir. — FOTO EPA
AFP

MANCHESTER City terlepas peluang memastikan tempat ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi apabila seri 1-1 dengan Atalanta pada perlawanan yang menyaksikan mereka berakhir dengan pertahanan kanan Kyle Walker menjadi penjaga gol.

Penjaga gol Brazil, Ederson digantikan ketika rehat kerana masalah otot sebelum pemain gantian Claudio Bravo dibuang padang pada 10 minit terakhir.

City mendahului menerusi gol awal Raheem Sterling pada minit ketujuh di San Siro, namun pemain Croatia, Mario Pasalic menanduk masuk gol penyamaan empat minit selepas rehat bagi membantu pasukannya meraih mata pertama dalam Liga Juara-Juara.

Man City mengungguli Kumpulan C dengan 10 mata daripada empat perlawanan dengan Shakhtar Donetsk dan Dinamo Zagreb masing-masing lima mata.

Perlawanan itu berakhir dengan penuh drama apabila Bravo dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Josip Ilicic sembilan minit sebelum tamat.

STERLING (kiri) menjaringkan gol pertama City di San Siro. — FOTO Reuters
STERLING (kiri) menjaringkan gol pertama City di San Siro. — FOTO Reuters

Selepas keliru beberapa minit, jurulatih City, Pep Guardiola akhirnya mengeluarkan Riyad Mahrez dengan Walker menyarung jersi Bravo.

“Masih ada 10 minit untuk ditamatkan dan kami memikirkan perkara buruk,” kata Guardiola. “Kyle Walker dicadangkan kerana keazamannya dan dia pantas. Tahniah kepadanya kerana membantu pasukan dan mengambil posisi ini.”

Walker berjaya menggagalkan percubaan Ruslan Malinovsky susulan sepakan percuma namun Atalanta gagal mengambil kesempatan pada minit-minit akhir.

“Tapi kami bertindak baik dengan hanya satu percubaan ke arah pintu gol kami selepas itu,” ujar Guardiola.

“Kami bermain baik pada babak pertama, anda tidak perlu tanya kelab Itali bagaimana sukarnya bermain menentang Atalanta, jadi babak pertama, kami cemerlang. Pada babak kedua kami menderita.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 10:14 AM