Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pemilihan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai EXCO Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2015-2019 kelmarin dianggap satu penghormatan tertinggi negara di pentas antarabangsa.

Menjadi individu pertama negara ini menjawat jawatan itu membuktikan pengiktirafan atas kesungguhan beliau memajukan bola sepak di peringkat kebangsaan dan rantau Asia.

Bekas pemain negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, rakyat negara ini perlu bangga dengan jawatan disandang Tengku Abdullah itu kerana bukan mudah untuk seseorang diterima masuk dalam barisan kepimpinan FIFA.

Katanya, pemilihan Presiden FAM dan bekas Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu membuktikan FIFA mengiktiraf kepimpinan Tengku Abdullah yang sentiasa mencetuskan idea baru dalam usaha memajukan bola sepak.

“Saya harap pemilihan Tengku Abdullah sebagai EXCO FIFA berupaya mencetuskan perkembangan lebih baik dalam bola sepak di negara ini termasuk Asia, kita ingin melihat kepakaran teknikal milik negara maju dalam sukan nombor satu itu dapat dikongsi bersama.

“Sebagai contoh, negara kini boleh dikatakan memiliki semua kemudahan namun disebabkan ketiadaan tenaga pakar teknikal, kemajuan bola sepak negara masih lagi berada pada tahap kurang memuaskan dan buktinya Harimau Malaya berada di tangga 164 dunia.

“Justeru, saya yakin pengalaman memimpin FAM dan AFC menjadi panduan berguna kepada Tengku Abdullah untuk mengatur strategi bagi memastikan bola sepak negara dan Asia terus bertambah baik seterusnya dihormati,” katanya.

Jamal Nasir berkata, dengan adanya Tengku Abdullah dalam FIFA, peruntukan memajukan bola sepak menerusi program seperti kursus, latihan, bengkel dan pertukaran pemain dapat dilakukan seterusnya mampu meningkatkan mutu pemain termasuk jurulatih.

“Saya penuh yakin beliau mampu menjalankan tugas dengan berkesan demi kemajuan bola sepak.

“Kesungguhan yang ada pada diri beliau turut menjadi kelebihan malah FIFA sendiri sudah mengenalinya sejak memegang jawatan Timbalan Presiden FAM,” katanya yang pernah bersama Tengku Abdullah dalam Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Pada pemilihan jawatan EXCO FIFA penggal 2015-2019 yang diadakan dalam Majlis Kongres AFC ke-26 di Bahrain kelmarin, Tengku Abdullah meraih 25 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:38 AM