DEPAY menyumbat gol pertama Lyon di Leipzig. — FOTO EPA
DEPAY menyumbat gol pertama Lyon di Leipzig. — FOTO EPA
AFP

LYON mengakhiri persembahan hambar akhir-akhir ini selepas Memphis Depay meledak gol ketika menang 2-0 di RB Leipzig pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi yang menyebabkan kelab Jerman itu kalah di laman sendiri kali kedua dalam tempoh empat hari.

Gol sumbangan bekas penyerang Manchester United, Depay dan Martin Terrier memastikan kemenangan buat kelab Perancis itu yang membantu mereka terikat empat mata dengan pendahulu Kumpulan G, Zenit Saint Petersburg dan satu mata di depan pasukan tangga ketiga Leipzig.

“Kami berhak menang. Kami mengalami masa sukar dan belum lagi mengatasinya tapi kami melakukan sedaya mungkin untuk mengubah keadaan,” kata kapten Lyon, Leo Dubois kepada RMC Sport.

Lyon tiba di Jerman selepas tujuh perlawanan tanpa menang yang menyaksikan mereka terjerumus ke tangga ke-11 Ligue 1, manakala Leipzig mendahului Bundesliga hingga Sabtu lalu sebelum tumbang 1-3 di laman sendiri kepada Schalke.

TERRIER mengatasi penjaga gol Leipzig, Peter Gulacsi untuk menjaringkan gol kedua. — FOTO AFP
TERRIER mengatasi penjaga gol Leipzig, Peter Gulacsi untuk menjaringkan gol kedua. — FOTO AFP

Jurulatih Julian Nagelsmann menegaskan kekalahan di tangan Schalke hanya satu kesilapan kecil namun Lyon sekali lagi mendedahkan kepincangan di benteng pertahanan Leipzig.

“Bagi saya, ia kekalahan yang tidak sepatutnya,” kata Nagelsmann.

“Kami sebenarnya bermain baik, tapi kami melakukan dua kesilapan.

“Bagi gol pertama, kami bertembung sesama sendiri. Bagi gol kedua, benteng kami agak lalai. Lyon tidak banyak mencipta peluang pun.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 10:06 AM