SANCHEZ bergaya dengan jersi pasukan baharunya di Milan, awal pagi tadi. — FOTO Twitter Inter
SANCHEZ bergaya dengan jersi pasukan baharunya di Milan, awal pagi tadi. — FOTO Twitter Inter
AFP

ALEXIS Sanchez sah menyertai kelab gergasi Itali, Inter Milan secara pinjaman semusim dari Manchester United, umum kedua-dua kelab itu awal pagi tadi.

Sanchez, 30, mengharungi masa sukar di Manchester United sejak menyertai Red Devisl pada Januari 2018 dan dilaporkan menjadi pemain menerima gaji paling mahal dalam Liga Perdana Inggeris.

Penyerang Chile itu hanya menjaringkan lima gol dalam 45 penampilan buat United dan tidak bermain langsung dalam tiga perlawanan musim ini.

“Alexis Sanchez secara rasmi menjadi pemain Inter. Pemain Chile ini menyertai Nerazzurri dari Manchester United dalam perjanjian pinjaman yang berakhir hingga 30 Jun 2020,” menurut satu kenyataan Inter.

SANCHEZ mengharungi dua musim sukar di Old Trafford. — FOTO Reuters
SANCHEZ mengharungi dua musim sukar di Old Trafford. — FOTO Reuters

Sanchez akan berganding semula dengan bekas rakan sepasukan United, Romelu Lukaku, yang berpindah ke Itali dengan harga 65 juta euro (RM303 juta) awal bulan ini, ketika Inter berharap untuk menamatkan dominasi lapan tahun Juventus pada musim sulung Antonio Conte mengendalikan kelab itu.

Lukaku meledak satu gol ketika permulaan sempurna Conte sebagai jurulatih Inter dengan kemenangan 4-0 ke atas kelab pendatang baharu Lecce, tiga hari lalu.

Bagaimanapun, meningkatkan semula keupayaan Sanchez satu cabaran besar buat Conte selepas 18 bulan yang penuh berliku di Old Trafford.

United berjaya mengurangkan kerugian mereka terhadap bekas bintang Barcelona dan Arsenal itu, namun dilaporkan masih membayar sebahagian besar daripada gaji Sanchez £400,000 (RM2.05 juta) seminggu selepas prestasi dan kecergasannya merudum dalam dua musim terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 8:42 AM