LUKAKU (tengah) bersaing dengan pemain Slavia, Tomas Soucek (kiri) di San Siro bulan lalu. — FOTO AFP
LUKAKU (tengah) bersaing dengan pemain Slavia, Tomas Soucek (kiri) di San Siro bulan lalu. — FOTO AFP
AFP

JURULATIH Antonio Conte menjadikan “gergasi baik” Romelu Lukaku sebagai tumpuan utama serangan Inter Milan musim ini apabila penyerang itu kembali menemui sentuhan jaringannya selepas meninggalkan Manchester United.

Pemain Belgium itu meledak pada perlawanan pertama liga menentang Lecce dan sudah menjaringkan lima gol dalam Serie A sejak meninggalkan Old Trafford pada musim panas lalu.

Bintang berusia 26 tahun itu menyumbat dua gol hujung minggu lalu menentang Sassuolo untuk membantu Inter ke tangga kedua Serie A, satu mata di belakang juara bertahan Juventus, selepas lapan perlawanan.

Ia disusuli dua gol buat Belgium mengesahkan tiket ke Euro 2020, melebarkan rekod sepanjang zamannya bersama pasukan kebangsaan kepada 51 gol dalam 83 penampilan.

Anak buah Conte melayan kunjungan pendahulu Kumpulan F, Borussia Dortmund pada perlawanan ketiga Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini selepas seri 1-1 dengan Slavia Prague dan tewas 1-2 di tangan Barcelona, yang mana Lukaku terlepas aksi di Sepanyol kerana kecederaan paha.

CONTE kagum dengan bakat Lukaku. — FOTO uefa.com
CONTE kagum dengan bakat Lukaku. — FOTO uefa.com

Inter membuat percaturan besar dengan melabur kira-kira 80 juta euro (RM373 juta) membeli Lukaku untuk mengembalikan gandingannya bersama Alexis Sanchez ketika menyarung jersi Red Devils.

Sanchez dari Chile hanya tampil empat kali bersama Inter sebelum diketepikan selama tiga bulan kerana kecederaan buku lali.

Namun Lukaku masih memukau dengan gandingannya bersama penyerang Argentina, Lautaro Martinez, yang turut menyumbat dua gol menentang Sassuolo hujung minggu lalu.

“Kami bekerja dengan Romelu untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik,” kata Martinez. “Kami mahu meningkatkan keserasian untuk membantu Inter menang.”

Ketajaman serta tahap tenaga pemain Belgium itu jelas jauh berbeza berbanding ketika di United, yang mana dia menghabiskan dua musim, menjaringkan 42 gol dalam 96 penampilan, namun hanya 15 kali beraksi musim lalu.

MARTINEZ mencari keserasian bersama Lukaku. — FOTO uefa.com
MARTINEZ mencari keserasian bersama Lukaku. — FOTO uefa.com

Dia turut menerima kecaman peminat kerana berat badan dan tahap profesionalismenya, ketika dia tidak lagi menjadi pilihan sebaik Ole Gunnar Solskjaer menggantikan Jose Mourinho.

“Akhirnya, saya fikir lebih baik buat saya berpindah dan mencuba perkara berbeza,” kata Lukaku, yang menyarung jersi nombor 9 bekas kapten Inter, Mauro Icardi, yang berpindah ke Paris Saint-Germain.

Conte sudah lama mengagumi bakat Lukaku, yang memulakan kariernya di Anderlecht dan cuba mengikatnya buat Chelsea sebelum pemain Belgium itu berpindah dari Everton ke United.

“Lukaku menyertai dunia Inter dengan cara terbaik, dengan perasaan rendah diri yang mengagumkan, dia seorang gergasi baik, gergasi dengan satu senyuman,” kata Conte, yang cuba memecah dominasi Juventus di Itali dan memenangi kejuaraan pertama Inter sejak Mourinho meraih tiga gelaran pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 2:02 PM